LUQMAN akan berhijrah ke Jepun. FOTO BERNAMA
LUQMAN akan berhijrah ke Jepun. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Tindakan penyerang skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin menukar haluan ke Jepun sedikit sebanyak membimbangkan apakah dia akan berjaya bangkit atau akan mengikut jejak seperti beberapa pemain sebelum ini yang gagal menyerlah di sana.

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, meskipun tidak akan bermain dalam saingan utama Liga Jepun (J-League), tetapi persaingan di sana begitu sengit dan paling menakutkan jika dia tidak dapat menyesuaikan diri sekali gus mengulangi sejarah pemain terdahulu.

Oleh itu, beliau berharap hasrat Luqman menukar angin ke J League akan membuahkan hasil dan dapat kembalikan prestasi terbaiknya seperti satu ketika dahulu.

"Hadi Fayyadh juga terggelam di Liga Jepun, berapa minit permainan sahaja dapat bermain walaupun tiga musim di Liga Jepun.

"Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim juga pernah ke FC Ryuku pada 2013 dulu. Malangnya semua tidak berjaya di Liga Jepun, tambahan pula Wan Zack mengalami kecederaan ketika baru nak bertapak di FC Ryukyu. Akibatnya, mereka lebih banyak menjalankan tugasan sampingan apabila tidak disenaraikan dalam perlawanan. Akhirnya mereka terpaksa pulang kembali ke Malaysia.

"Saingan di Jepun walaupun cuma Liga 3, tetapi ia sangat kompetitif. Justeru, saya harap Luqman telah memikirkan semasak-masaknya keputusan itu dan dia yakin akan dapat beraksi dalam kesebelasan utama pasukan itu untuk dapat memantapkan permainannya.

"Jika tidak, lebih baik beraksi sahaja dalam Liga Malaysia daripada buang masa di Jepun pula," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Luqman yang masih ada kontrak bersama kelab Belgium, KV Krtrijk akan berhijrah ke J-League secara pinjaman dan akan bermain di Divisyen 3 bersama kelab baharunya itu selepas diberikan tawaran minit permainan lebih banyak.

Pemain muda negara itu sebelum ini juga terpaksa berhijrah ke kelab Iceland, Njardvik FC sebagai pemain pinjaman dalam usahanya untuk meningkatkan minit permainan.

Untuk rekod, Luqman pernah disenaraikan sebagai 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian pada tahun 2019 namun dirinya tidak dapat meneruskan prestasi cemerlang itu sehingga kini berbanding pemain muda Thailand, Suphanat Muenta yang terus mencipta nama bersama skuad Thailand dan akan beraksi di Piala Asia di Qatar nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 6:16 PM