Pengerusi J-League Mr Mitsuru Murai bersalaman dengan Mokhtar (dua dari kiri) pada majlis pengumuman perjanjian perkongsian antara FAM dan J-League di Wisma FAM.
Pengerusi J-League Mr Mitsuru Murai bersalaman dengan Mokhtar (dua dari kiri) pada majlis pengumuman perjanjian perkongsian antara FAM dan J-League di Wisma FAM.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kelana Jaya: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mokhtar Ahmad mahu badan induk berkenaan mengamalkan pendekatan yang dilaksanakan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) terutamanya dalam aspek penghijrahan pemain tempatan ke luar negara.

Mokhtar percaya langkah berkenaan mampu melonjakkan kembali prestasi skuad negara untuk melangkah ke pentas lebih tinggi.

“FAM boleh meniru kejayaan yang diraih JFA. Mereka mempunyai lebih 300 pemain di luar Jepun dan lihatlah pencapaian mereka. Jepun menjadi pasukan yang konsisten mara ke pusingan akhir Piala Dunia,” katanya.

FAM menurut Mokhtar perlu mempelajari kebangkitan bola sepak Samurai Biru selepas mereka memperkenalkan Liga Jepun (J-League) pada 1993.

“Kita sendiri sudah menyaksikan JFA mengecapi kejayaan dan banyak kerja yang kita perlu lakukan untuk menjadi seperti mereka. FAM tidak boleh meraih kejayaan dalam tempoh singkat dan memerlukan masa,” tambahnya.

Terdahulu Mokhtar hadir pada majlis mengumumkan perjanjian perkongsian antara FAM dan J-League dengan kerjasama berkenaan tidak ditetapkan tempoh masa tertentu.

Terdapat 11 perkara yang tertakluk di bawah perjanjian berkenaan bagi pembangunan liga bola sepak profesional kedua-dua negara seperti mewujudkan dan menggalakkan peluang bagi pemain Malaysia menyertai kelab di J-League dan pemain dari Jepun beraksi bersama kelab Liga Super dan Perdana selain mengadakan pertandingan, perlawanan persahabatan dan kem latihan pusat bersama bagi pasukan peringkat belia.

Turut terkandung adalah perlawanan persahabatan antara pasukan tempatan dengan kelab J-League serta program pertukaran, pemerhatian dan latihan kepada jurulatih, pengadil, pemain, jurulatih kecergasan, pasukan perubatan, pengurusan pertandingan, akademi dan pemasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 10:52 AM