LUQMAN (kanan) bersama Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada.
LUQMAN (kanan) bersama Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada.
Syazwan Msar


JEPUN menjadi medan ‘ubi baharu’ untuk mengasah bakat masing-masing apabila tujuh pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) berpeluang menjalani latihan bersama kelab terkemuka di negara matahari terbit itu dalam masa terdekat ini.

Ia disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam yang melihat perbincangan bersama beberapa wakil kelab yang beraksi di Liga Jepun (J-League) menunjukkan perkembangan positif seterusnya bakal menyaksikan pemain belia negara ini bakal menimba pengalaman berharga sepanjang tempoh bersama pasukan di liga berkenaan.

Stuart berkata, penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin antara pemain yang kemungkinan besar dipanggil menyertai program itu dan beberapa nama lain akan diumumkan sebaik mendapat pengesahan.

“Kemungkinan ada empat kelab yang mengambil tujuh pemain terbabit untuk mengikuti program latihan, sekali gus mampu mempertingkatkan kebolehan masing-masing dengan mempelajari teknik bola sepak menerusi kelab di Jepun.

HADI FAYYADH
HADI FAYYADH

“Pada masa ini, kita tidak mahu mendedahkan nama kelab berkenaan kerana mungkin mengganggu proses perbincangan dan perkara terbabit akan hanya diumumkan apabila sudah mendapat persetujuan semua,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, FAM berharap pemain berkenaan akan menunjukkan komitmen tinggi jika terpilih menjalani latihan seterusnya menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu meningkatkan mutu bola sepak negara.

Mengikut rekod, setakat ini hanya seorang saja pemain Malaysia beraksi di Jepun iaitu Hadi Fayyadh yang mewakili kelab Fagiano Okayama.

Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim pula sebelum ini pernah bersama kelab FC Ryukyu pada 2013 tetapi mereka beraksi di liga Japan Football League (JFL) yang turut membabitkan penyertaan pemain separuh profesional.

Jika tujuh pemain berkenaan berjaya menarik minat barisan jurulatih, mereka mungkin diserap untuk mewakili pasukan terbabit nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:01 AM