POSTER memperkenalkan Luqman oleh kelab divisyen tiga Jepun, Yokohama SCC. FOTO YOKOHAMA SCC
POSTER memperkenalkan Luqman oleh kelab divisyen tiga Jepun, Yokohama SCC. FOTO YOKOHAMA SCC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak muda negara Luqman Hakim Shamsudin mendedahkan bahawa dia membuat keputusan berhijrah ke Jepun memandangkan jendela perpindahan masih belum dibuka untuk kelab Eropah.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata, dia terpaksa memilih berkelana ke Jepun kerana negara terbabit masih lagi 'membuka pintu' kepada pemain luar untuk beraksi secara pinjaman.

"Ketika saya minta untuk dipinjamkan, jendela perpindahan di Eropah masih belum dibuka dan mereka tidak dapat menggantikan pemain sedia ada. Disebabkan itu, hanya Jepun menjadi tempat untuk saya membuat pilihan.

"Sebelum ini memang dah dijemput pihak kelab untuk menonton satu perlawanan sebelum menandatangani kontrak.

"Apa yang saya lihat pada pasukan ini, ciri-ciri dari segi cara permainan yang berintensiti tinggi dan sikap profesional menyebabkan saya berminat untuk sertai," katanya, ketika ditemui sebuah stesen televisyen tempatan, baru-baru ini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Luqman akhirnya menukar 'angin' ke bumi Asia apabila secara rasminya menyertai kelab divisyen tiga Jepun, Yokohama SCC secara pinjaman bagi musim 2024/2025.

Pemain itu yang berkelana ke Eropah sejak 2020 memilih untuk meneruskan kariernya ke kelab Jepun dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti permainan.

Perkembangan itu disahkan menerusi pengumuman Yokohama SCC di laman sosial yang memaklumkan Luqman secara rasmi memperkuatkan pasukan terbabit.

Terdahulu, Luqman menabur bakti bersama kelab divisyen satu Iceland, Njardvik FC namun terpaksa menamatkan tempoh kontrak lebih awal.

Sepanjang tempoh terbabit, dia hanya sempat beraksi beberapa perlawanan dan lebih banyak beraksi selaku pemain gantian.

Luqman dijangka dapat dilihat buat kali pertama dalam saingan J3 League apabila Yokohama SCC berdepan Kataller Toyama pada 23 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 4:21 PM