LUQMAN menyertai Yokohama secara pinjaman. FOTO Yokohama SCC
LUQMAN menyertai Yokohama secara pinjaman. FOTO Yokohama SCC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin menanam impian mahu menjadikan saingan Liga Jepun sebagai pentas untuk menyinar.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata, dia turut berjanji untuk memberikan yang terbaik buat penyokong Yokohama SCC sepanjang tempoh bersama kelab itu.

"Saya gembira datang ke Yokohama SCC. Saya berharap dapat beri yang terbaik (kepada kelab) untuk musim ini. Saya gembira menjadi sebahagian daripada keluarga Yokohama.

"Buat penyokong Yokohama, saya berharap anda sentiasa menyokong pasukan. Saya harap anda dapat menerima saya," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Luqman akhirnya menukar 'angin' ke bumi Asia apabila secara rasminya menyertai kelab divisyen tiga Jepun, Yokohama SCC secara pinjaman bagi musim 2024/2025.

Pemain itu yang berkelana ke Eropah sejak 2020 memilih untuk meneruskan kariernya ke kelab Jepun dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti permainan.

Perkembangan itu disahkan menerusi pengumuman Yokohama SCC di laman sosial yang memaklumkan Luqman secara rasmi memperkuatkan pasukan terbabit.

Terdahulu, Luqman menabur bakti bersama kelab divisyen satu Iceland, Njardvik FC namun terpaksa menamatkan tempoh kontrak lebih awal.

Sepanjang tempoh terbabit, dia hanya sempat beraksi beberapa perlawanan dan lebih banyak beraksi selaku pemain gantian.

Luqman dijangka dapat dilihat buat kali pertama dalam saingan J3 League apabila Yokohama SCC berdepan Kataller Toyama pada 23 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 4:46 PM