M KAVISHKUMAR
M KAVISHKUMAR
Aziman Rosdi


RAMAI peminat bola sepak tempatan yang tidak mengenali M Kavishkumar namun jika betul perancangannya, tidak mustahil nama penyerang berusia 21 tahun itu bakal menjadi sebutan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Bagaimanapun, bukan populariti yang dicari sebaliknya bekas pemain Victoria Institution FC (VIFC) itu mengambil keputusan berkelana ke Nagoya, Jepun untuk menyertai kelab Tokai FC bulan depan bagi mencabar kemampuan dirinya sendiri.

Kumar mengakui, ia bukan keputusan sukar untuk dia menerima tawaran kontrak setahun dengan kelab dari Liga Prefektur Jepun (JPL) yang berstatus semi-pro itu biarpun boleh selesa dengan gaji lebih tinggi di negara sendiri.

“Bila saya dapat tawaran daripada kelab itu, saya tak fikir dua kali. Memang saya boleh dapat gaji lebih baik di sini, saya dapat tawaran dengan pasukan Piala Presiden Kuala Lumpur dan dipanggil untuk sesi percubaan dengan FELDA United, tapi saya tetap mahu ke Jepun.

“Memang kelab ini bermain di liga bawahan, tapi kelab ini ada sasaran untuk ke Liga Jepun (J-League) pada 2021. Selain itu mereka boleh menghantar mana-mana pemain ke kelab utama jika kita bermain dengan baik.

“Saya tidak tahu sama ada usaha saya ini akan berjaya atau tidak, tapi saya lebih rela mencuba daripada menunggu peluang itu datang,” kata penyerang berasal dari Cheras itu.

Sebelum ini, pemain negara Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim Che Hashim pernah menyertai kelab FC Ryukyu pada 2013 namun hanya bertahan tidak sampai semusim.

Hampir semua pemain tempatan yang pernah berkelana ke luar negara diuruskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau pasukan negeri masing-masing berbanding Kumar yang mencuba nasib seorang diri pada 2016 dan 2017.

“Sepatutnya saya menjalani sesi percubaan dengan Gamba Osaka, Oktober lalu tapi akan timbul sedikit masalah jika mereka mahu menawarkan kontrak kepada saya kerana ia berkaitan dengan ranking negara kita. Jadi saya tidak mahu pulang dengan tangan kosong, jadi saya cuba dengan kelab lain dan akhirnya diterima (Tokai FC).

“Sekarang saya hanya menunggu urusan permohonan visa untuk ke Jepun bulan depan. Buat masa ini saya berlatih dengan VIFC untuk saya kekalkan kecergasan sebelum ke sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 6:16 PM