NAMA Arif Aiman menjadi perhatian antarabangsa selepas meledak gol pada aksi persahabatan menentang kelab Bundesliga, Borussia Dortmund hujung tahun lalu. FOTO ARKIB NSTP
NAMA Arif Aiman menjadi perhatian antarabangsa selepas meledak gol pada aksi persahabatan menentang kelab Bundesliga, Borussia Dortmund hujung tahun lalu. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya diterajui Arif Aiman Hanapi diangkat oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebagai 'ancaman besar' buat semua pasukan dalam kempen Piala Asia di Qatar, bulan depan.

Selain peringatan itu, Fifa turut mengiktiraf pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sebagai antara lima bintang bakal menjadi tumpuan pada saingan tertinggi Asia itu nanti.

"Malaysia kini muncul sebagai kuasa baharu di Asia Tenggara. Harimau Malaya hanya memenangi tiga daripada 10 perlawanan mereka sebelum ketibaan jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon, tetapi kemudian memenangi 18 daripada 27 perlawanan.

"Mereka (Malaysia) turut membuat permulaan baik untuk kelayakan Piala Dunia 2026 dengan memenangi dua perlawanan awal Kumpulan D.

"Paling ketara, mereka bangkit daripada ketinggalan 1-3 ketika menentang Kyrgyzstan sebelum menang 4-3. Tunjang kejayaan itu ialah Arif Aiman, yang merekodkan tiga bantuan gol dalam kemenangan dramatik itu," kata Fifa di laman web badan induk dunia itu.

Fifa turut mengakui nama Arif Aiman mula menjadi perhatian antarabangsa ketika pemain sayap itu meledak gol pada aksi persahabatan menentang kelab Bundesliga, Borussia Dortmund hujung tahun lalu.

"Pemain berusia 21 tahun itu beraksi bersama kelab gergasi Malaysia, JDT dan meledak lapan gol dan mencipta 13 bantuan gol dalam 23 perlawanan musim ini.

"Dia menjadi terkenal selepas menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan menentang Borussia Dortmund akhir tahun lalu dan meningkat secara berterusan untuk menjadi salah satu prospek paling menarik di Malaysia".

Di Piala Asia nanti, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 4:30 PM