ARIF Aiman (tengah) dijangka bakal memainkan peranan penting buat skuad negara di Piala Asia 2023. FOTO ARKIB NSTP
ARIF Aiman (tengah) dijangka bakal memainkan peranan penting buat skuad negara di Piala Asia 2023. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Doha: Bintang muda sensasi negara, Arif Aiman Hanapi bakal menjadi tumpuan pemerhati dan pencari bakat di Doha, Qatar yang mahu melihat lebih dekat potensi dimiliki pemain sayap skuad Harimau Malaya itu.

Arif Aiman, 22, sebelum ini mencuri perhatian pelbagai pihak terutama ketika aksinya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Aksi memukaunya di saingan ACL yang juga pentas tertinggi bagi kelab Asia berjaya memahat namanya sebagai bintang muda paling mencuri tumpuan sepanjang musim 2023.

Malah, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) turut memuatnaik Arif Aiman sebagai antara lima pemain perlu diberikan tumpuan di Piala Asia 2023 di Qatar, ketika ini.

Selain pemain negara itu, badan induk dunia itu turut menamakan tonggak sensasi Jepun, Junya Ito dan pemain Korea Selatan, Cho Gue-sung sebagai calon bintang yang akan menyerlah.

Dua lagi pemain iaitu Harry Souttar dari Australia serta tonggak lincah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Harib Abdalla antara bintang yang perlu diawasi benteng lawan.

"Mereka memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan cemerlang dengan memenangi dua perlawanan pertama.

"Paling mencuri tumpuan ketika mereka bangkit daripada ketinggalan 1-3 pada 20 minit terakhir sebelum menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam perlawanan pembukaan.

"Tunjang kepada kejayaan itu ialah Arif Aiman, yang melakukan tiga bantuan jaringan dalam kemenangan dramatik berkenaan," kata Fifa pada Disember lalu.

Kenyataan badan induk antarabangsa itu pastinya menarik minat pencari bakat dari Eropah yang kini meletakkan Arif Aiman sebagai sasaran untuk dipantau, sekali gus tidak mustahil bakal dipancing kelab ternama dunia selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 2:03 PM