ARIF Aiman ledak empat gol ketika menentang Papua New Guinea.
ARIF Aiman ledak empat gol ketika menentang Papua New Guinea.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Empat gol yang diledak bintang sensasi skuad Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi menyaksikan namanya kini sebaris dengan beberapa legenda bola sepak tempatan.

Menerusi semakan Arena Metro, sepanjang 60 tahun skuad negara beraksi dan menyertai pelbagai perlawanan di pentas antarabangsa, hanya empat pemain pernah meledak lebih daripada tiga gol dalam satu-satu perlawanan.

Selain Arif Aiman, 'raja' bola sepak negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat dan penyerang terbilang Harimau Malaya, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari antara pemain yang pernah meledak lebih daripada tiga gol dalam satu aksi.

Untuk rekod, Ghani Minhat meledak tujuh gol ketika membantu pasukan Tanah Melayu (sebelum pembentukan Malaysia) menang 9-2 ke atas Kemboja pada 1956.

Begitupun aksi tidak diiktiraf Fifa kerana Tanah Melayu pada waktu itu masih belum menjadi anggota Fifa, di mana Malaysia mula sertai badan induk dunia itu pada 1963.

Mokhtar Dahari pula melakukannya pada 1977 apabila meledak lima gol untuk membelasah Burma (kini Myanmar) dengan 9-1 di temasya Sukan Sea pada tahun itu.

Wira negara di kelayakan Sukan Olimpik 1980, James Wong turut tersenarai sebagai penyerang berbisa apabila menjaringkan empat gol pada 1977 di Kelayakan Piala Dunia 1978, dengan membenam Thailand 6-4.

Selain itu, Zaquan Adha Abdul Radzak turut mencetak empat gol dalam satu perlawanan pada 2018 ketika pasukan negara menentang Bhutan.

Terdahulu, Arif Aiman yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) mencetuskan sensasi apabila meledak empat gol dalam aksi persahabatan Tier 1 menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.

Skuad kendalian Kim Pan-gon menang 10-0 dengan Arif Aiman meledak pada babak kedua masing-masing pada minit 57, 60, 87 dan 89.

Tonggak naturalisasi negara, Paulo Josue turut meledak dengan jaringan hatrik pada minit 52, 64 dan 70, disusuli satu gol masing-masing menerusi Safawi Rasid (m-45), Faisal Halim (m-59) dan Daniel Ting (m-76).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 12:29 PM