STEINBRUCKNER lega apabila tiga tonggak pertahanannya pulih. -FOTO Ghazali Kori
STEINBRUCKNER lega apabila tiga tonggak pertahanannya pulih. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ada nada gembira buat ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menjelang pertembungan dengan Penang FC pada aksi kedua terakhir Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam esok.

Kata jurulatih berusia 57 tahun itu, kehadiran semula tiga daripada empat tonggak pertahanannya begitu melegakan kem pasukannya dalam misi wajib menang ke atas skuad Harimau Kumbang itu.

Bekas jurulatih kelab NK BSK Bijelo Brdo dalam Liga Croatia berkata , kemenangan juga begitu penting buat pasukannya sebagai suntikan semangat sebelum berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia Jumaat ini.

Jelas bekas pemain tengah kelab Warriors FC dalam Liga Singapura musim 1999 itu, tiga tonggak pertahanan iaitu Muhammad Azam Azmi Murad, Muhammad Safwan Mazlan dan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni sudah sembuh daripada kecederaan.

"Kehadiran semula tiga daripada empat tonggak pertahanan yang sebelum ini mengalami kecederaan sudah pasti melegakan saya manakala seorang lagi pertahanan iaitu Mohammad Alif Zakaria dalam proses untuk pulih.

"Bagaimanapun pada sesi latihan terakhir petang ini, saya akan melihat sejauh mana kesediaan tiga tonggak pertahanan itu sama ada boleh diturunkan atau sebaliknya bagi mengelak kecederaan berulang," katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad Penyu itu menghuni di tangga keenam liga dengan mengutip 36 mata selepas 24 perlawanan, aksi terakhir skuad itu bakal berdepan Perak FC pada 17 Disember ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 12:52 PM