PEMAIN Penang FC, Rafael Vitor  meraikan jaringan penalti  ketika menentang Terengganu FC. FOTO Mikail Ong
PEMAIN Penang FC, Rafael Vitor meraikan jaringan penalti ketika menentang Terengganu FC. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menyifatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Penang FC di Stadium Bandaraya semalam adalah lumrah dalam sukan bola sepak meskipun ramai mempersoalkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim yang dikatakan bertindak melulu sehingga menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan lawan pada hujung perlawanan.

Bekas jurulatih kelab NK BSK Bijelo Brdo dalam Liga Croatia itu berkata, beliau berpuas hati pasukannya dapat mengutip satu mata di gelanggang lawan sungguhpun secara peribadi tidak memahami mengapa pengadil memberi sepakan penalti selepas lima minit insiden itu berlaku.

"Tahniah kepada kedua-dua pasukan. Kami membariskan ramai pemain muda malam ini. Masing-masing ada situasi perlu dihadapi dan Penang buat gol penyamaan selepas dapat penalti disebabkan kesilapan kita. Saya selesai dengan itu. Bagi saya itu okay kerana inilah bola sepak.

"Cuma saya tidak faham bagaimana pengadil membuat keputusan selepas lima minit dan tidak tahu apa yang berlaku dalam sistem di sebelah sana," katanya.

Skuad Penyu hampir membawa pulang tiga mata namun Rahadiazli dilihat meluru keluar jauh dari gawang golnya sebelum melompat tinggi dan merempuh Nik Akif Syahiran dalam kawasan penalti dalam usaha mengeluarkan bola setelah pemain itu melakukan sepakan percuma.

Sementara itu, pengendali sementara Penang FC (PFC), Akmal Rizal Ahmad Rakhli nyata gembira dengan kejayaan anak buahnya merebut satu mata ketika menentang TFC.

Bekas penyerang skuad kebangsaan berusia 41 tahun itu memuji kesungguhan pemain yang mempamer semangat juang tinggi serta tidak mudah mengalah meskipun kem pelawat hampir melakar kemenangan setelah mendahului 1-0 menjelang minit akhir perlawanan.

"Saya berterima kasih kepada semua pemain. Apa yang penting, komitmen dan karakter setiap pemain walaupun mereka tahu tiada apa lagi yang hendak diperjuangkan dalam baki saingan Liga Super ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 5:02 PM