SKUAD TFC II meraikan kejayaan muncul juara Piala Cabaran 2018.
SKUAD TFC II meraikan kejayaan muncul juara Piala Cabaran 2018.
Malik Muhamad


LALUAN sukar mempertahankan Piala Cabaran musim ini. Itu kesimpulan ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan selepas pasukannya diundi bersama pasukan Liga Super, Kuala Lumpur, Selangor United dan naib juara Piala Cabaran musim lalu, UKM FC dalam Kumpulan B.

Menurut Tengku Hazman, pasukannya yang muncul juara Piala Cabaran edisi pertama musim lalu menyifatkan TFC II bakal berdepan saingan sengit untuk mempertahankan piala itu.

Beliau menyatakan Kuala Lumpur yang bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan selepas menghuni tangga tercorot Liga Super musim ini adalah pasukan paling kuat dalam kumpulan.

"Kuala Lumpur antara pencabar utama, mereka dapat menggunakan lima tonggak import secara bergilir-gilir, penyerang utama yang juga penjaring terbanyaknya, Guilherme De Paula antara pemain perlu diawasi manakala pemain tempatan mereka juga tidak kurang hebat.

"Selangor United pun tidak boleh dipandang mudah kerana rekod seimbang di mana masing-masing menang di tempat sendiri," ujar Tengku Hazman.

Mengulas lanjut, beliau yang kehilangan awang import di posisi pertahanan, Serhii Andrieiev yang beraksi bersama pasukan 'abang' Terengganu FC (TFC), sedang menguji beberapa pemain tempatan yang mampu memikul tugasan itu.

"Kami hanya dapat guna tiga import kerana Andrieiev sudah bersama TFC untuk saingan Piala Malaysia, namun begitu saya tetap percaya kemampuan pemain dalam pasukan.

"Kehadiran semula penyerang import, Akanni Sunday Wasiu yang sudah pulih daripada kecederaan melegakan kami," kata bekas pemain skuad kebangsaan itu.

Musim lalu, The Turtles muncul juara selepas menang agregat 4-2 menundukkan UKM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 8:32 PM