JORDAN Mintah (kiri) diasak pemain PJ City FC, D Kogan pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi. FOTO Ghazli Kori
JORDAN Mintah (kiri) diasak pemain PJ City FC, D Kogan pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi. FOTO Ghazli Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) masih belum menekan butang panik sebaliknya masih percaya mampu kembali bangkit selepas gagal merakam kemenangan dalam tiga aksi terakhir Liga Super.

Ini keyakinan disuarakan ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain yang mengakui pasukannya masih berada di landasan terbaik untuk bersaing dalam kelompok teratas liga walaupun berdepan dengan krisis kecederaan kritikal tonggak utamanya.

"Tiga perlawanan dengan hanya mengutip dua mata dan tujuh mata kita hilang, ini kerugian buat pasukan, namun kita masih berada di landasan terbaik untuk bersaing dalam kelompok teratas liga kerana perjalanan liga masih panjang dan banyak lagi perlawanan.

"Jadi kami perlu perlu tingkatkan lagi corak permainan pasukan biarpun kita tahu TFC berdepan dengan krisis kecederaan yang kritikal selepas tiga tonggak utama termasuk import, Petrus Shitembi, Azalinullah Alias dan terbaru penjaga gol, Rahadiazli Rahalim terpaksa melupakan saingan musim ini.

"Namun itu bukan alasan kerana saya percaya 27 pemain boleh bagi yang terbaik dalam setiap perlawanan, ini juga peluang kepada mereka untuk diturunkan dan perlu mengambil peluang itu dengan memperagakan aksi terbaik," katanya selepas pertemuan dengan PJ City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi yang berkesudahan terikat 0-0.

Ketika ditanya mengenai emosi pemainnya selepas gagal mengutip mata penuh biarpun berpeluang berdepan skuad The Phoenix itu, jurulatih kelahiran Kelantan itu tetap tenang sambil akui anak buahnya juga terkilan dengan keputusan itu.

"Emosi tu biasalah sebab kita sasar tiga mata, tapi dapat satu mata memang kecewa sebab kita tahu boleh dapat tiga mata, lagipun kita cipta gerakan untuk menjaringkan gol tapi ia bukan perkara mudah, lagipun bertemu PJ City FC ini bukan senang dengan pertahanan sembilan dan sepuluh pemain selain serangan mengejut mereka yang bahaya biarpun mereka tiada import tapi masih mampu bermain dengan baik.

"Tapi keseluruhan saya berpuas hati dengan aksi pemain saya termasuk penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin yang membuat penampilan pertama bersama TFC musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 11:18 AM