ABBAS Saad (kiri) bersama Danny Vukovic semasa sidang media menjelang perlawanan Piala AFC 2023 antara Terengganu FC menentang Central Coast Mariners FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
ABBAS Saad (kiri) bersama Danny Vukovic semasa sidang media menjelang perlawanan Piala AFC 2023 antara Terengganu FC menentang Central Coast Mariners FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali kelab Central Coast Mariners, Abbas Saad tetap menyuarakan kebimbangan berdepan Terengganu FC (TFC) sekalipun pasukannya sudah bersedia untuk beraksi pada perlawanan pertama Kumpulan G saingan Piala AFC, malam esok.

Tambah bekas pemain tengah menyerang pasukan Johor musim 1991/1992 itu, kualiti pemain TFC selain beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sudah tentu skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu mempunyai kelebihan apatah lagi pasukannya terpaksa menempuhi perjalanan yang agak jauh untuk tiba di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun bekas pemain kebangsaan Australia kelahiran Lebanon itu tidak mahu mencipta alasan sebaliknya tetap percaya dengan kemampuan dan kredibiliti anak buahnya lebih-lebih lagi persediaan rapi pasukan sudah dilakukan sejak tahun lalu lagi sehingga muncul juara Liga Australia musim lalu.

"Saya memandang ke hadapan pertemuan menentang TFC kerana hasil analisis, corak permainan pasukan ini (TFC) adalah baik sehingga muncul naib juara Liga Super musim lalu selain agak konsisten sejak beberapa perlawanan lalu.

"Jadi saya ingatkan pemain agar berwaspada dan tidak boleh mengambil mudah pertemuan malam esok lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang lawan ditambah kualiti yang ada pemain lawan seperti kapten mereka, Habib Haroon.

"Namun pemain kami juga tidak kurang hebatnya, kami muncul juara liga pada musim lalu, lagipun kami sudah melakukan persediaan rapi sejak tahun lalu lagi, malah pasukan kami kali ini lebih muda dan tiada yang mengalami kecederaan, apapun kami akan berikan segalanya untuk perlawanan esok," katanya ketika ditemui pada sidang media menjelang perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, hari ini.

Sementara itu kapten Central Coast Mariners, Danny Vukovic, menjelaskan dia dan rakan sepasukannya bagaikan tidak sabar untuk menunggu tiupan wisel pertama aksi berkenaan lebih-lebih lagi ia pengalaman pertama beraksi di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun bekas penjaga gol kebangsaan Australia itu senada dengan jurulatihnya yang akui perlawanan itu tetap sukar lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan.

"Ya kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan menentang TFC, ini adalah pengalaman yang bagus buat kami, kami bagaikan tidak sabar untuk turun beraksi, namun kami perlu berwaspada kerana ia pastinya perlawanan yang sukar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 2:38 PM