DAVIES harap  JDT mampu membawa pulang keputusan positif dari Tokyo. FOTO Johor Southern Tigers
DAVIES harap JDT mampu membawa pulang keputusan positif dari Tokyo. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemain bek kanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Matthew Davies menganggap perbezaan pasukannya dengan Kawasaki Frontale adalah kelebihan kelab Jepun itu mendapat perlawanan kompetitif dalam saingan Liga 1 Jepun (Liga J1) secara berterusan setiap minggu.

Davies menambah kelebihan beri ruang buat skuad kendalian Toru Oniki beraksi dalam permainan berintensiti tinggi dan begitu kompetitif sekali gus memberi ruang buat pasukan itu membuat persiapan bagi mengharungi cabaran di Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Pemain kacukan Malaysia dan Australia itu berkata pada sidang media pra perlawanan Kumpulan I yang akan berlangsung di Stadium Todokori, petang esok dan aksi menentang kelab dari Jepun itu amat penting buatt JDT untuk terus kekal dalam saingan ACL dan membuka peluang untuk layak ke pusingan seterusnya.

"Kami gembira dan tidak sabar untuk beraksi esok kerana ini kali keempat kami bertemu Kawasaki dalam dua tahun dan seakan sudah mengetahui tentang mereka dengan baik.

"Semua tahu mereka lawan yang kuat dan tidak akan mengambil mudah kerana kami tahu ianya satu perlawanan sukar dan seperti dikatakan jurulatih ianya aksi yang penting buat kami dan ia ibarat perlawanan akhir.

"Namun begitu, kami hadir ke sini untuk berikan segalanya dan cuba membawa balik keputusan positif dari sini," katanya.

Davies yang baru selesai dari tugasan kebangsaan kini yakin mereka sudah mendapat rehat yang cukup dan kini bersedia menggalas satu lagi cabaran dalam misi hidup mati mereka di ACL musim ini.

Dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim pada September, Harimau Selatan tewas tipis 1-0 kepada Kawasaki Frontale dan kini sedia berhadapan wakil Jepun itu sekali lagi untuk meraih kemenangan pertama dalam rekod empat pertemuan sejak dua musim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 9:31 PM