MORA (kiri) bersama Farizal ketika sidang media pra perlawanan JDT menentang Guangzhou FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO RIZAR MOHD NOOR
MORA (kiri) bersama Farizal ketika sidang media pra perlawanan JDT menentang Guangzhou FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO RIZAR MOHD NOOR
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora menumpukan sepenuh perhatian membuat persiapan menentang Guangzhou FC pada aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Pengendali dari Mexico itu enggan memikir perlawanan antara Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale, tatkala kedua-dua pasukan itu termasuk JDT masih berpeluang merebut tangga teratas dan kedua dalam Kumpulan I.

Berdasarkan format perlawanan saingan ACL membabitkan Zon Timur, juara Kumpulan F, G, H, I dan J akan layak ke pusingan seterusnya manakala hanya tiga pasukan tempat kedua yang memiliki mata dan jaringan terbaik akan mengiringi juara kumpulan.

Justeru, Mora lebih memberi fokus terhadap persiapan JDT berdepan skuad bimbingan Pan Hongye untuk memburu mata penuh sebelum memikirkan aksi terakhir menentang juara ACL 2021, Ulsan Hyundai pada Sabtu ini.

"Ketika ini, kami terikat tujuh mata dengan Ulsan Hyundai, jadi kami perlu mengutip enam dalam dua perlawanan terakhir ini dan selepas itu melihat peluang untuk layak.

"Kami akan mengubah nasib selepas tewas 5-0 kepada Kawasaki Frontale, baru-baru ini dan kali ini menentang Guangzhou FC yang pernah kami tewaskan 5-0.

"Kami optimis mampu mengulangi kemenangan itu dengan skuad besar 35 pemain membabitkan pemain import, pemain berpengalaman serta pemain muda. Jadi, kami akan memberi peluang kepada yang berada di prestasi terbaik untuk turun beraksi," katanya.

Dalam pada itu, penjaga gol, Farizal Marlias berkata, persiapan pasukan berada di tahap terbaik dan tidak sabar untuk beraksi bagi menuai tiga mata.

"Kami masih ada peluang untuk layak dengan syarat menang semua baki perlawanan menentang Guangzhou dan Ulsan Hyundai.

"Kami bertekad untuk melakukan tugas ini sebaik mungkin dan melupakan kekalahan kepada Kawasaki Frontale," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 2:33 PM