PEMINAT tuntut pemain TFC beraksi bagaikan pentas final. FOTO Ghazali Kori
PEMINAT tuntut pemain TFC beraksi bagaikan pentas final. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC menuntut pemain skuad Penyu berjuang habis-habisan bagaikan beraksi di pentas final berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, peluang untuk mara ke final tidak harus dilepaskan pemain lebih-lebih lagi hanya selangkah sahaja lagi untuk ke pentas itu bagi merebut piala berprestij dalam negara.

Jelasnya, kelebihan satu jaringan ketika menumpaskan skuad The City Boys itu 2-1 pada aksi separuh akhir pertama tidak boleh dianggap selesa kerana sejarah sudah terpahat TFC 'rebah' di tangan KL City pada aksi separuh akhir Piala FA Jun lalu di tempat sendiri.

Bagaimanapun katanya, pengalaman ketua jurulatih skuad TFC itu, Tomislav Steinbruckner yang pernah menjawat jawatan Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) musim lalu mampu memberikan impak positif buat pasukan.

Malah katanya, peminat setia skuad Penyu sudah bersedia untuk 'menggegarkan' stadium itu bagi menyuntik semangat kepada pemain agar mampu beraksi dengan lebih baik.

"Menjelang pertemuan separuh akhir kedua Jumaat ini, kami para penyokong Terengganu sudah bersedia untuk menjadi stadium itu 'lautan' Hitam Putih bagi memberikan sokongan padu kepada pemain ketika beraksi.

"Kami juga berharap Tommy (Steinbruckner) dapat merencana strategi lebih ampuh dan luar biasa pada malam tersebut bagi memenuhi hasrat semua penyokong TFC untuk ke final Piala Malaysia.

"Kepada pemain, beraksilah dengan semangat juang yang tinggi tanpa mengenal erti putus asa demi lencana di dada kerana inilah peluang terbaik untuk mengulangi pencapaian mara ke final sebagaimana musim 2018.

"Bagaimanapun ingatan kami agar peminat setia TFC tidak membuat kecoh serta mengamalkan disiplin yang tinggi ketika menyaksikan pertembungan penting itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 2:58 PM