Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner tidak sesekali memilih lawan yang bakal ditentang pada aksi separuh akhir Piala FA yang dijadualkan pada bulan depan.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, beliau tidak kisah sama ada Sabah FC ataupun Kuala Lumpur City FC (KL City FC) kerana misinya adalah untuk mengulangi pencapaian musim lalu mara ke pentas final.

"Sejujurnya saya tidak kisah pasukan mana yang bakal ditemui pada aksi separuh akhir nanti sama ada Sabah FC ataupun KL City FC kerana misi kami adalah untuk melangkah ke pentas final.

"Lagipun pada aksi Liga Super, kami terikat tanpa jaringan dengan KL City FC dan seri 2-2 dengan Sabah FC pada minggu lalu, jadi saya enggan memikirkan pasukan mana yang mahu kami lawan nanti.

"Tapi apa yang pasti saya tidak akan lepaskan peluang untuk saksi kedua-dua pasukan itu bertarung pada petang esok dan pada masa sama kami akan perbaiki lagi corak permainan pasukan sebelum bertarung.

"Sebelum ini kerap kami kuasai permainan tapi adakalanya kami tewas seperti bertemu Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC," jelas Steinbruckner.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat aksi suku akhir berdepan pasukan tetangga, Kelantan FC yang memihak kepada TFC dengan kemenangan 4-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, petang semalam.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu memperoleh jaringan masing-masing menerusi Muhammad Azam Azmi Murad, Ivan Mamut, Sony Norde dan Syafik Ismail manakala dua gol The Red Warriors dijaringkan oleh pemain importnya, Ismaheel Akinade.

STEINBRUCKNER. -FOTO Ghazali Kori
STEINBRUCKNER. -FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 1:08 PM