SESI latihan menjelang perlawanan separuh akhir menentang KL City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. -FOTO Ghazali Kori
SESI latihan menjelang perlawanan separuh akhir menentang KL City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Aksi separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada malam esok pastinya menarik kerana ia bukan hanya membabitkan 'pertempuran' kedua-dua pemain yang mengintai peluang ke pentas final.

Sebaliknya pertembungan itu juga membabitkan dua pengendali kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner, 57, yang membimbing TFC manakala Bojan Hodak, 52, mengemudi pasukan KL City FC.

Strategi dan 'DNA' siapa yang lebih hebat? Itulah persoalan yang berlegar dalam kalangan kedua-dua penyokong pasukan berkenaan selepas aksi pusingan pertama Liga Super musim ini berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Peminat TFC pastinya mahu 'magis' Steinbruckner untuk membawa skuad Penyu ke pentas final buat kali kedua berturut-turut selepas tumpas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final itu.

Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil 'Tommy' ketika diajukan persoalan itu akui Hodak adalah rakannya dan kerap berjumpa jika ada kelapangan sama ada di Terengganu ataupun di Kuala Lumpur.

"Saya dan Bojan (Hodak) adalah kawan dan beliau kerap menghubungi saya dan jika ada kelapangan kami keluar minum bersama sambil menikmati keindahan di Terengganu khususnya.

"Namun itu di luar padang, tapi apabila kami bertembung di padang, ia tetap satu pertandingan dengan masing-masing mahu menang dan mara ke pentas final Piala FA.

"Dengan sokongan padu ribuan peminat setia TFC, saya mengharapkan pemain mampu menterjemahkan taktikal yang kami atur bagi memastikan aksi final nanti menjadi milik pasukan kami," ujar Tommy.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 12:26 PM