BEKAS pemain tengah Leicester dan Chelsea, Danny Drinkwater. -FOTO AFP
BEKAS pemain tengah Leicester dan Chelsea, Danny Drinkwater. -FOTO AFP
AFP

London: Bekas pemain tengah Leicester dan Chelsea, Danny Drinkwater mengumumkan persaraannya hari ini selepas mengakui dia seperti sudah lama 'diabaikan'.

Drinkwater adalah pemain utama bersama Leicester ketika mereka merangkul Liga Perdana Inggeris pada 2016 tetapi berpindah ke Chelsea setahun kemudian.

Dia gagal menempatkan dirinya dalam barisan utama di Stamford Bridge dan dipinjamkan ke Burnley dan Aston Villa ketika masalah di luar padangnya semakin menjadi perbualan.

Pemain berusia 33 tahun itu mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengalami kemalangan pada 2019, mengalami kecederaan buku lali dalam kejadian di luar kelab malam pada tahun yang sama dan menanduk rakan sepasukan Villa, Jota dalam insiden di padang latihan pada 2020.

Drinkwater membuat penampilan terakhir ketika dipinjamkan ke Reading pada 2021-22 dan tanpa kelab sejak kontrak Chelseanya tamat pada akhir musim itu.

Bercakap di The High Performance Podcast, dia berkata: "Perkara ini sudah lama difikirkan sejak tahun lalu tetapi saya fikir sudah tiba masanya untuk mengumumkannya secara rasmi sekarang.

"Saya rasa saya sudah terlalu lama berada dalam keadaan tidak menentu. Saya sudah lama mahu bermain tetapi tidak mendapat peluang untuk bermain pada standard atau tahap yang saya rasa dihargai.

"Saya gembira tidak bermain bola sepak tetapi saya juga gembira dapat bermain bola sepak, jadi adakah saya hanya berjabat tangan dengan sukan itu?"

Dia membuat penampilan tiga kali bersama England dan juga graduan dari akademi remaja Manchester United tetapi tidak bersama skuad senior untuk kelab Old Trafford sebelum menyertai Leicester pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 8:20 PM