DANNY DRINKWATER
DANNY DRINKWATER
Reuters

PEMAIN tengah Chelsea Danny Drinkwater tidak mempunyai masa depan di kelab Liga Perdana Inggeris itu kerana tidak sesuai dengan gaya permainan mereka, kata pengurus Maurizio Sarri hari ini.

Drinkwater menyertai Chelsea dari Leicester City dengan bayaran 35 juta pound (RM188.8 juta) pada 2017 tetapi kali terakhir beraksi bersama kelab London itu ketika Perisai Komuniti Ogos lalu.

Pemain tengah itu didakwa kerana memandu dalam keadaan mabuk awal minggu ini dan diketepikan daripada skuad Chelsea untuk kunjungan ke Slavia Prague untuk perlawanan suku akhir Liga Europa awal pagi esok.

“(Drinkwater) tidak pernah bermain kerana dia tidak sesuai dengan sistem dan cara permainan saya,” kata Sarri.

“Mungkin saya silap tetapi ini pandangan saya. Saya bercakap dengannya Ogos lalu ketika pasaran perpindahan masih lagi terbuka dan saya katakan dia sepatutnya mencari pengalaman bersama pasukan lain kerana dia tidak akan bermain dan saya beritahu sebab-sebabnya.

“Saya tidak tahu (mengapa dia mahu kekal di sini). Mungkin dia berharap saya akan menukar sistem. Saya mempunyai hubungan yang baik dengannya kerana pada pandangan saya dia seorang yang baik tetapi tidak sesuai dengan saya.”

Sarri merancang untuk membuat lima atau enam pertukaran dalam perlawanan Liga Europa dan perlu berwaspada untuk mendapat keputusan diingini.

“Pada pandangan saya, ia perlawanan yang agak berbahaya bagi saya. Slavia adalah pasukan yang pantas jadi kami perlu mengekang mereka dan bertahan dengan baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:05 PM