REAKSI kecewa barisan pemain Itali selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
REAKSI kecewa barisan pemain Itali selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
AFP

London: Luciano Spalletti berkata Itali mesti mengambil pengajaran kekalahan 1-3 ke atas England di Wembley ketika beliau berjuang untuk memastikan anak buahnya layak ke pusingan akhir Euro 2024 di Jerman.

Gianluca Scamacca menyudahkan satu gerakan menarik untuk meletakkan Azzurri di depan tetapi England bangkit menerusi dua gol Harry Kane serta jaringan Marcus Rashford.

Kemenangan itu menjamin England di kedudukan teratas Kumpulan C, sekali gus menyaksikan Itali yang juga juara bertahan Eropah serta Ukraine bersaing untuk mendapatkan tempat kedua.

Anak buah Spalletti menduduki tempat ketiga, tiga mata di belakang Ukraine dengan kurang satu perlawanan dalam tangan.

Apa pun yang berlaku, mereka sudah pun terjamin beraksi dalam penentuan play-off kerana kedudukan mereka di Liga Negara-Negara Uefa.

"Ada ketikanya kami agak santai tetapi saya fikir kami mencipta banyak peluang. Saya rasa kami beraksi dengan kemas dan melakukan beberapa perkara yang dengan baik.

"Tetapi akhirnya kami tidak dapat memanfaatkan segala peluang itu," kata Spalletti.

Beliau menambah: "Saya rasa pemain tidak sepatutnya tewas dengan dua gol tetapi kami perlu terus membangunkan pasukan terutamanya apabila membabitkan perlawanan utama."

Spalletti akui tahap permainan di Serie A agak ketinggalan berbanding liga Eropah yang lain.

"Saya rasa itulah sebabnya. Perlawanan seperti ini akhirnya perlu memotivasikan kami dan memberi inspirasi kepada kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 8:24 AM