SPALLETTI harap pemain lupakan kekecewaan gagal ke Piala Dunia. FOTO AFP
SPALLETTI harap pemain lupakan kekecewaan gagal ke Piala Dunia. FOTO AFP
AFP

Florence: Luciano Spalletti menggesa pemain Itali melupakan keperitan gagal layak ke Piala Dunia ketika beliau mengendalikan Azzurri untuk layak ke Euro 2024 Azzurri selepas pemergian Roberto Mancini.

Itali menentang Macedonia Utara dan Ukraine dalam dua perlawanan penting untuk membuka peluang mereka layak dari Kumpulan C bagi kejohanan yang berlangsung di Jerman.

Spalletti mengambil alih penyandang juara Eropah itu bulan lalu selepas peletakan jawatan mengejut Mancini, yang kemudiannya dilantik sebagai jurulatih Arab Saudi dalam perjanjian wang lumayan.

Mancini berjaya membawa pasukan memenangi Euro 2020 tetapi juga mengetuai kekalahan play-off kepada Macedonia Utara yang menghalang mereka daripada ke Piala Dunia tahun lalu di Qatar.

"Kami perlu melupakan kepahitan dua keputusan yang meninggalkan parut kepada kami dan memainkan gaya bola sepak yang disukai orang, gaya permainan yang menyatukan negara bola sepak," kata Spalletti kepada pemberita di pusat latihan Coverciano Itali.

"Berada di sini sebagai jurulatih pasukan kebangsaan mencetuskan perasaan istimewa, impian saya yang sudah lama tercetus. Saya berumur 11 tahun ketika Piala Dunia Mexico 1970, apabila saya meminta ibu saya untuk membuat bendera saya sebesar mungkin selepas kemenangan 4-3 (separuh akhir) ke atas Jerman."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 10:53 PM