RUMPUT padang di SNBJ terpaksa diperbaiki oleh kakitangan PSM. -FOTO NSTP
RUMPUT padang di SNBJ terpaksa diperbaiki oleh kakitangan PSM. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mendedahkan bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah memberikan 'amaran awal' bahawa rumput Stadium Nasional bukit Jalil (SNBJ) tidak cukup matang untuk digunakan pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata, perkara terbabit diketahui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun perlawanan terpaksa diteruskan kerana tiket bagi perlawanan membabitkan Harimau Malaya menentang India sudah dijual.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya bertungkus lumus memperbaiki keadaan padang SNBJ bagi memastikan venue terbabit berada pada keadaan optimum pada perlawanan final Pestabola Merdeka yang akan berlangsung Selasa ini.

"FAM berada di situ (ketika TMJ memberi amaran) namun tiket sudah terjual dan dalam tempoh 24 jam nak tukar agak susah.

"Memang benar TMJ ada nyatakan kegusaran pertumbuhan rumput takut tidak mencengkam atau berada pada paras optimum. Kita ada perbincangan bersama FAM tapi itulah show must go on (perlawanan perlu diteruskan)," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan tidak sampai tempoh 48 jam padang baru SNBJ digunakan namun ia sudah kelihatan rosak sebaik tamat 45 minit pasukan Malaysia beraksi menentang India pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023, malam tadi.

Jelas sekali padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihat tercabut atau 'koyak' seawal lima minit sepak mula perlawanan membabitkan Malaysia menentang India sekali gus menimbulkan persoalan dikalangan penyokong bola sepak tanah air terhadap kualiti rumput yang digunakan itu.

Sementara itu, PSM turut menyarankan bahawa skuad Harimau Malaya tidak menggunakan SNBJ untuk sesi latihan sebelum sepak mula perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka menentang Tajikistan pada Selasa ini.

"Pihak PSM ambil maklum insiden semalam (kelmarin), dan ketika ini kerja-kerja penambahbaikan sedang giat dilakukan. Sejurus selepas tamat perlawanan malam semalam, pasukan saya dan JDT telah pun masuk ke dalam stadium untuk membetulkan tempat yang perlu dibetulkan.

"Kami mempunyai tempoh sehingga Selasa untuk memastikan padang tersebut sesuai untuk dimainkan dalam keadaan yang terbaik.

"Untuk perkara itu (latihan di SNBJ), saya perlu berbincang dengan FAM terlebih dahulu. Berdasarkan nasihat daripada pihak kontraktor, sebaik-baiknya jangan bagi membolehkan padang berada dalam kualiti yang terbaik untuk hari perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 1:41 PM