SNBJ kekal venue final Pestabola Merdeka. -FOTO Aizuddin Saad
SNBJ kekal venue final Pestabola Merdeka. -FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tidak ada perubahan lokasi final Pestabola Merdeka 2023 apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan aksi pasukan kebangsaan menentang Tajikistan pada Selasa ini kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa keputusan ini dibuat menerusi mesyuarat yang diadakan sejurus pemeriksaan keadaan terkini padang di stadium terbabit yang mana penelitian dan penilaian dari aspek teknikal, ia boleh digunakan untuk aksi final, Selasa ini.

Katanya, keputusan itu juga mengambil kira beberapa faktor dan pertimbangan lain termasuk daripada segi aspek logistik membabitkan sekretariat, petugas serta pasukan yang terbabit selain tiada venue lain di Lembah Klang yang mampu menampung jangkaan jumlah kehadiran penyokong Harimau Malaya.

"Biarpun keadaan padang baharu SNBJ tidak begitu memuaskan sewaktu perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023, Malaysia lawan India pada Jumaat lalu, 13 Oktober 2023, FAM yakin dan percaya bahawa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) serta pihak konsultan teknikal dan kontraktornya mampu untuk membaikpulih keadaan rumput menjelang Selasa ini.

"Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac turut disertai oleh Ahli Lembaga Pengarah PSM, Datuk Seri Windsor John; Pengerusi LOC Pestabola Merdeka 2023 yang juga Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon pada tengah hari tadi melakukan pemeriksaan bagi melihat sendiri keadaan terkini padang Stadium Nasional.

"Selepas pemeriksaan itu, mesyuarat yang disertai pihak-pihak terbabit bersetuju untuk aksi Final Pestabola Merdeka 2023, Selasa ini tetap dimainkan di SNBJ berdasarkan perkembangan positif yang dapat dilihat pada kerja-kerja baik pulih padang terbabit," katanya.

Selain itu beliau berkata, Pan Gon sendiri dari segi teknikal melihat bahawa padang itu boleh dimainkan dan berasakan adalah lebih baik aksi final kekal di Stadium Nasional supaya tidak mengganggu fokus dan persiapan pasukannya.

"FAM cukup berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta PSM yang mana pihak mereka sudah berusaha keras dan sedaya upaya dalam menjayakan projek penukaran rumput baharu di Stadium Nasional ini dan memastikan ia dapat digunakan pada Pestabola Merdeka 2023 ini.

"Junjung kasih juga kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas kesudian baginda menaja pemasangan rumput baharu jenis Zeon Zoysia ini.

"Mungkin atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan terutama dari segi tempoh masa, keadaan padang baharu ini tidak cukup sempurna seperti yang semua harapkan untuk diguna pakai pada Pestabola Merdeka 2023 ini, namun ia masih tetap lebih baik berbanding rumput cow grass yang digunakan sebelum ini," katanya.

Dengan mengambil kira bahawa Stadium Nasional ini adalah ' 'Home of Harimau Malaya' dan jumlah penjualan tiket aksi final yang sudah melebihi 10,000 penonton setakat ini, tiada venue lain di sekitar Lembah Klang yang mampu untuk menampung kapasiti tersebut kecuali Stadium Nasional.

Malah jika dipindahkan aksi final ke Stadium Sultan Ibrahim di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu, ia akan menimbulkan lebih masalah dan kesulitan kepada penyokong setia Harimau Malaya yang sudah membeli tiket kerana majoriti mereka berada di Lembah Klang.

Justeru, dengan mengambil keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional ini, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan PSM di sepanjang tempoh beberapa hari menjelang Selasa ini bagi memastikan tahap atau keadaan padang Stadium Nasional dapat diminimumkan kerosakannya demi memastikan aksi final dapat berjalan dengan lancar.

Sudah tentu, kondisi padang akan menjadi fokus utama FAM dan PSM ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 5:34 PM