MATTHEW  Davies cuba melepasi kawalan tiga pemain Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Aswadi Alias
MATTHEW Davies cuba melepasi kawalan tiga pemain Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak perlu menunggu 45 minit untuk 'koyak' apabila hanya mengambil masa 30 saat sebelum terdapat rumput sudah tercabut pada perlawanan final Pestabola Merdeka antara Malaysia menentang Tajikistan.

Namun, pada aksi final kali ini, padang yang koyak tidaklah nampak ketara berbanding pada perlawanan Jumaat lalu namun situasi terbabit sebenarnya boleh menganggu pergerakan pemain kedua-dua pasukan.

Walaupun, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengambil langkah optimum dengan memperbaiki padang SNBJ dalam tempoh tiga hari namun jelas sekali ia tidak mampu menghalang untuk rumput di venue terbabit koyak.

Malah, padang yang rosak itu juga boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain kedua-dua pasukan selain turut merencatkan perancangan untuk memburu gol.

Sebelum itu, PSM memberi jaminan padang SNBJ sudah bersedia untuk menganjurkan final Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia menentang Tajikistan, malam ini.

PSM menerusi satu kenyataan menjelaskan penilaian teknikal yang menyeluruh ke atas padang di SNBJ sudah dijalankan oleh perunding Zeon Zoysia menerusi perbincangan yang berlangsung dengan pihak terbabit.

Sebagai rekod, kualiti padang di SNBJ yang baru selesai dinaik taraf mendapat kritikan hebat daripada banyak pihak susulan rumput di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu tercabut di beberapa bahagian padang ketika aksi sulung Pestabola Merdeka 2023, Jumaat lalu.

Aksi membabitkan pertembungan Malaysia dan India itu adalah perlawanan pertama yang berlangsung di stadium itu selepas ia ditutup bagi kerja naik taraf.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 9:42 PM