Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Keputusan sama ada venue final Pestabola Merdeka membabitkan Malaysia bertemu Tajikistan kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) atau sebaliknya hanya akan diputuskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihak berkaitan akan melakukan perbincangan untuk memilih venue bersesuaian bagi memastikan perlawanan terbabit dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

"Pertama sekali, tahniah kepada Harimau Malaya atas kemenangan mereka semalam. Semasa pelancaran, kebimbangan dibangkitkan mengenai padang yang belum mencapai keadaan optimumnya, seperti yang diketengahkan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Bagaimanapun, kami percaya dengan kepakaran kontraktor yang turut menguruskan Stadium JDT (Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kita tunggu kenyataan rasmi daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) kelak," katanya.

SYIHAN Hazmi sedang memperbetulkan rumput di SNBJ yang tercabut. FOTO Bernama
SYIHAN Hazmi sedang memperbetulkan rumput di SNBJ yang tercabut. FOTO Bernama

Terdahulu, Arena Metro melaporkan tidak sampai tempoh 48 jam padang baru SNBJ digunakan namun ia sudah kelihatan rosak sebaik tamat 45 minit pasukan Malaysia beraksi menentang India pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023, malam tadi.

Jelas sekali padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihat tercabut atau 'koyak' seawal lima minit sepak mula perlawanan membabitkan Malaysia menentang India, sekali gus menimbulkan persoalan dikalangan penyokong bola sepak tanah air terhadap kualiti rumput yang digunakan itu.

Begitupun, Tunku Ismail tampil menawarkan Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi final Pestabola Merdeka antara Malaysia dan Tajikistan, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 3:11 PM