STADIUM Sultan Ibrahim. FOTO Agensi
STADIUM Sultan Ibrahim. FOTO Agensi
Syazwan Msarmohd


Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi menjadi 'penyelamat' kepada maruah bola sepak tanah air apabila menawarkan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor, sebagai venue bagi final Pestabola Merdeka, Selasa ini.

Malah Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut akan menyediakan venue berkenaan dalam keadaan 'tiptop' jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju dengan cadangan terbabit.

"Ini adalah produk(padang) yang sudah terbukti. Sudah terbukti tetapi kena jaga betul-betul. Tiada beza. Kontraktor sama, rumput sama. Beza di SNBJ (Stadium Nasional Bukit Jalil) tiada TMJ di situ. Itu saja.

"FAM kalau nak pakai SSI cakap saya siapkan," kata Tunku Ismail menerusi laman Twitternya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan tidak sampai tempoh 48 jam padang baru SNBJ digunakan namun ia sudah kelihatan rosak sebaik tamat 45 minit pasukan Malaysia beraksi menentang India pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023, malam tadi.

Jelas sekali padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihat tercabut atau 'koyak' seawal lima minit sepak mula perlawanan membabitkan Malaysia menentang India sekali gus menimbulkan persoalan dikalangan penyokong bola sepak tanah air terhadap kualiti rumput yang digunakan itu.

Mengikut rekod, gelanggang keramat Harimau Malaya yang dirasmikan Tunku Ismail bukan sahaja menggunakan rumput baharu, malah proses naik taraf turut dilakukan di bahagian lain termasuk tempat solat dan tandas.

Padang baharu itu menggunakan rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata, beliau terlebih dahulu sudah memberi peringatan kepada pihak berkenaan bahawa padang terbabit memerlukan masa untuk matang dan penggunaan dalam tempoh terdekat akan menyebabkan rumput terkopak.

"Semasa majlis penyerahan padang, saya cakap kepada semua yang padang ini perlu lebih masa kerana akar belum kuat. Saya juga sampaikan kepada semua yang berada di situ yang padang tersebut akan terkopak esok semasa perlawanan," katanya.

Malaysia bakal bertemu Tajikistan pada aksi final Pestabola Merdeka pada Selasa ini dan venue bagi perlawanan terbabit masih lagi menjadi tanda tanya berikutan keadaan padang SNBJ agak membimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 12:02 PM