Ariff Farhan yakin dengan perancangan yang bakal dilakukan Nafuzi bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini. FOTO Ihsan KDA FC
Ariff Farhan yakin dengan perancangan yang bakal dilakukan Nafuzi bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Ariff Farhan Md Isa yakin Sang Kenari mampu bangkit dan beri aksi terbaiknya melalui baki empat perlawanan Liga Super bagi memburu tempat kedua liga serta slot Piala AFC 2024.

Pemain bek kiri ini berkata, momentum berterusan yang ditunjukkan Kedah dengan berada di tempat ketiga buat masa ini dalam saingan Liga Super menjadi bekalan terbaik untuk merebut kedudukan naib juara serta misi ke pentas Piala AFC musim depan

"Dengan hanya berbaki empat perlawanan lagi dalam Liga Super ini, kami sudah pasti mahu buktikan kemampuan untuk terus bangkit dan merebut tempat kedua yang memberi laluan ke saingan pentas Asia musim depan.

"Kami tidak mahu pandang ke belakang lagi, sebaliknya mahu terus fokus ke depan untuk memastikan langkah dalam empat perlawanan terakhir ini berjaya dan tidak mustahil kami dapat memintas kedudukan Selangor FC yang kini berada di tangga kedua liga.

"Kami akan berdepan pasukan Negeri Sembilan FC, Kelantan FC, Selangor FC dan Sabah FC selepas ini yang dilihat cukup sengit dan juga berharap penyokong dapat memainkan peranan dengan hadir lebih ramai memberi sokongan," katanya

Ariff Farhan juga berkata, dia sedar kekalahan kepada Kuching City yang menyaksikan Sang Kenari tersingkir dari aksi Piala Cabaran minggu lalu menjadi iktibar buat pasukan agar terus memperbaiki setiap aspek kelemahan sepanjang tempoh latihan sebelum aksi Liga Super bersambung.

"Selepas tewas dan tersingkir dari saingan Piala Cabaran kepada Kuching City minggu lalu, fokus kami kini hanya satu iaitu dalam Liga Super, yang mana saya cukup yakin Ketua Jurulatih Nafuzi Zain memiliki perancangan terbaik untuk kami menghadapi setiap satu aksi liga yang akan dilalui nanti.

"Saya jangkakan latihan yang lebih terperinci akan dilakukan nanti dalam tempoh dua minggu lebih sebelum perlawanan liga ini kembali bermula.

"Jadi kami perlu manfaatkan ruang latihan yang dijalani sebelum saingan Liga Super kembali bersambung pada hujung bulan nanti dan selepas itu kami mahu hadir dengan kekuatan yang dirancang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 2:32 PM