GONZALEZ kini sedang menjalani prosedur rawatan lutut. -FOTO Ihsan FB KDA FC
GONZALEZ kini sedang menjalani prosedur rawatan lutut. -FOTO Ihsan FB KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa meneruskan sebahagian besar perlawanan Liga Super, Piala FA termasuk saingan Piala AFC dengan hanya menggunakan empat pemain import bagi memburu misi kejayaan yang dirangka pada musim ini.

Ini susulan pemain posisi pertahanan dari Andorra Marc, Vales Gonzales kini sedang menjalani prosedur rawatan lutut akibat kecederaan yang dialaminya pada perlawanan pramusim yang lalu yang mana khidmatnya kini terpaksa dilupakan seketika.

Situasi ini juga menyaksikan KDA FC kini bergantung sepenuhnya kepada

empat import sahaja yang terdiri daripada Dechi Marcel dari Ivory Coast, Sanrawat Dechmitr (Thailand), Mahmoud Al-Mardi (Jordan) dan Ronald Ngah Wanja (Cameroon) sebaik menyambung cabaran Liga Malaysia Julai ini.

Perkembangan ini juga menyaksikan Sang Kenari bergantung sepenuhnya kepada barisan pertahanan tempatan terdiri Akmal Zahir, Kamil Akmal, Rodney Celvin, Azmeer Aris, Loqman Hakim dan Ariff Farhan pada ketiga-tiga aksi berkenaan.

Melalui maklumat yang dihebahkan oleh skuad Sang Kenari semalam, Gonzales yang juga pemain kebangsaan Andorra sudah memulakan prosedur rawatannya yang memerlukan tempoh rehat yang panjang.

"Pemain pertahanan KDA FC, Gonzalez menjalani prosedur rawatan lutut pagi tadi (semalam) dan akan menjalani latihan pemulihan selama enam minggu.

"Warga KDA FC mendoakan agar dia cepat sembuh untuk terus membantu pasukan pada aksi musim ini," katanya.

Sementara itu Gonzalez melalui laman sosial turut meluahkan rasa kecewanya kerana misinya untuk membantu pasukan pada baki saingan terdekat tidak kesampaian, selain ucapan tahniah kepada pasukannya yang berjaya layak ke saingan separuh akhir pusingan zon Asean Piala AFC baru-baru ini.

Gonzalez juga turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang menghantar mesej tanda sokongan kepadanya untuk segera sembuh dan kembali kepada pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 12:40 PM