PRESIDEN KEPDA, Nor Hasmadi Hamzah.
PRESIDEN KEPDA, Nor Hasmadi Hamzah.
Izzali Ismail


Alor Setar: Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA) mahu pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) segera melakukan bedah siasat berikutan isu prestasi tidak menentu Sang Kenari dalam aksi Liga Super, ketika ini.

Presiden KEPDA, Nor Hasmadi Hamzah berkata, kegagalan untuk bangkit dua kali seperti dalam perlawanan menentang Pahang FC dengan kekalahan 0-2, malam tadi, dan ketika tewas 1-3 menentang KL City pada 27 Julai lalu memperlihatkan momentum 'lemau' mula menguasai juara Piala FA musim 2019 itu.

"Kami semakin hari semakin resah dan kepada pengurusan KDA FC, kami berharap dapat melakukan bedah siasat secepat mungkin bagi mengenalpasti apa masalah sedang terjadi berkaitan prestasi semasa pasukan dalam saingan Liga Super ketika ini.

"Prestasi tidak menentu ini mengundang rasa kecewa penyokong yang mahu Sang Kenari kembali mengekalkan momentum terbaiknya seperti kejayaan ditampilkan dalam beberapa musim lalu.

"Kekalahan demi kekalahan ini boleh mengundang laluan sukar buat pasukan dalam Liga Super dan Piala Malaysia yang akan datang selepas KDA FC terkeluar dari saingan Piala FA musim ini," katanya.

Hasmadi berkata, keputusan bedah siasat itu dapat membantu skuad Sang Kenari menempuh saingan separuh akhir Piala AFC Zon Asean menentang PSM Makassar FC di Bali, Indonesia pada 9 Ogos ini.

"Jika sudah mengenalpasti masalah dihadapi kini, ia sekurang-kurangnya dapat membantu perancangan pasukan untuk aksi penting pada saingan Piala AFC di Bali nanti.

"Kami sangat berharap agar pihak pengurusan dapat menyelesaikan perkara ini dengan secepat mungkin dan sebagai penyokong, kami mahu tahu punca masalah itu supaya tidak menjadi anggapan buruk dalam media sosial.

"Ini boleh meningkatkan kesedaran lebih baik untuk semua pemain bagi memperbaiki kelemahan seterusnya meningkatkan kemampuan pada aksi separuh akhir zon Asean Piala AFC nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 7:45 PM