Kehadiran semula Vales dapat memperkasakan kembali benteng KDA FC pada perlawanan menentang Sabah FC minggu lalu. FOTO Ihsan KDA FC
Kehadiran semula Vales dapat memperkasakan kembali benteng KDA FC pada perlawanan menentang Sabah FC minggu lalu. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Wakil negara di peringkat saingan Piala AFC musim ini Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya boleh menarik nafas lega apabila berpeluang menurunkan lima pemain import penuh pada aksi saingan Liga Super menentang Penang FC pada 2 September depan.

Ini susulan kehadiran semula pemain import pertahanan Marc Vales bersama pasukan pada aksi menentang Sabah FC pada 17 Ogos lalu selepas hampir empat bulan tidak dapat beraksi akibat kecederaan yang dialaminya sejak dari perlawanan pramusim lalu.

Ketua Jurulatih skuad Sang Kenari Aidil Sharin Sahak berkata, dengan kehadiran semula Vales menjadikan skuad Kedah lengkap dengan jumlah lima import beraksi buat pertama kali pada musim ini sebaik aksi Liga Super kembali bersambung pada awal September depan.

"Sejak bermula aksi Liga Malaysia pada musim ini, kami belum pernah dibarisi lima pemain import penuh pada setiap perlawanan akibat isu kecederaan yang tidak diduga dan terpaksa kami hadapi sejak awal musim lagi.

"Dengan kehadiran semula pemain import Marc Vales bersama pasukan pada aksi bertemu Sabah FC minggu lalu, kami semakin melengkapkan jumlah import yang membarisi pasukan pada aksi perlawanan ketika ini.

"Jika seorang lagi pemain tengah iaitu Dechi Marcel yang mengalami kecederaan lutut dan kini sedang dalam tempoh pemulihan untuk kembali beraksi dapat diturunkan, maka kami kembali mendapat lima tenaga import penuh pada aksi menentang Penang FC pada perlawanan seterusnya nanti," katanya.

Selain kecederaan Vales, KDA FC juga terpaksa kehilangan pemain tengah kuota Asean Dennis Buschening dan pemain Korea Selatan Jang Suk Won pada musim ini dan dua pemain itu digantikan pada Jendela Perpindahan Kedua dengan pemain kuota Asia kelahiran Jordan Mahmoud Al-Mardi dan pemain Thailand Sanrawat Dechmitr.

Kehadiran lima import termasuk Vales, Marcel dan Ronald Ngah ini mampu menghasilkan impak maksima buat skuad Sang Kenari yang mahu keluar dari aksi tidak konsisten setakat ini dengan misi seterusnya berada pada kelompok lima pasukan teratas Liga Super serta memberi saingan yang terbaik untuk aksi Piala Malaysia musim ini.

Dalam rekod lima perlawanan terdahulu Liga Super, Kedah yang berada pada tangga ketujuh Liga Super setakat ini mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 8:57 PM