SKUAD Harimau Malaya giat menjalani latihan menjelang saingan Pestabola Merdeka. FOTO HAZREEN MOHAMAD
SKUAD Harimau Malaya giat menjalani latihan menjelang saingan Pestabola Merdeka. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Format perlawanan Pestabola Merdeka terpaksa diubah dengan hanya membabitkan tiga pasukan bertanding selain turut menggunakan dua venue berbeza.

Keputusan terbabit dicapai selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan mesyuarat susulan penarikan diri pasukan Palestin daripada menyertai kejohanan terbabit kerana serangan balas membabitkan pihak tentera Israel dan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.

Menurut sumber, skuad Harimau Malaya akhirnya akan merasmikan padang baharu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) apabila membuka tirai kejohanan Pestabola Merdeka dengan menentang India pada 13 Oktober ini.

"FAM kesuntukan masa untuk memanggil pasukan lain termasuk daripada negara jiran dan terpaksa mengubah format perlawanan bagi memastikan kejohanan itu berlangsung tanpa sebarang masalah.

"Perubahan lain yang dilakukan adalah perlawanan kedua membabitkan Tajikistan menentang India kemungkinan akan berlangsung di Stadium Bolasepak Cheras dan tarikh akan diumumkan kelak.

"Keputusan itu dilakukan bagi memastikan padang SNBJ tidak rosak dan berada dalam keadaan terbaik apabila Malaysia menentang Tajikistan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan pasukan bola sepak Palestin kemungkinan tidak dapat menyertai Pestabola Merdeka 2023 yang akan membuka tirai 13 Oktober ini.

Hal ini kerana, ketegangan yang memuncak di negara Timur Tengah itu menyaksikan pasukan mereka tidak dapat keluar daripada kawasan berbahaya untuk berlepas ke Malaysia.

Mengikut jadual terdahulu menyaksikan perlawanan membabitkan Tajikistan menentang Palestin terlebih dahulu akan membuat tirai kejohanan Pestabola Merdeka sebelum disusuli Malaysia bertemu India sebelum pertembung di pentas final berlangsung pada 17 Oktober.

Sementara itu,menerusi perkongsian Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) di laman sosialnya memaklumkan semua perlawanan Liga Palestin perlu dihentikan untuk sementara waktu.

"PFA mengumumkan bahawa semua perlawanan Liga Primer Tepi Barat (WBPL) dan Liga Primer Jalur Gaza tidak akan berlangsung dalam minggu ini memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan.

"Perlawanan persahabatan Palestin dalam Pestabola Merdeka juga akan terjejas. Semua lintasan sempadan dan Lapangan Terbang Lod ditutup," katanya menerusi hantaran di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 4:13 PM