NOOR Azman mengesahkan penyertaan Tajikistan.
NOOR Azman mengesahkan penyertaan Tajikistan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Teka-teki pengganti Lubnan di Pestabola Merdeka akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Tajikistan sebagai pasukan keempat pada kejohanan yang akan berlangsung pada 13 hingga 17 Oktober depan.

Setiausaha FAM Noor Azman Rahman menerusi kenyataan media memaklumkan pihaknya menerima surat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) berkaitan penarikan diri itu pada Isnin lalu.

Beliau berkata, alasan LFA adalah kerana mereka terpaksa menarik diri daripada Pestabola Merdeka disebabkan pasukannya dan Palestin diundi dalam kumpulan sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini.

"FAM mengambil langkah proaktif dengan segera menghubungi beberapa pasukan baharu sebagai pengganti supaya perjalanan pertandingan tersebut yang telah ditetapkan untuk disertai empat pasukan dengan dua hari perlawanan iaitu pada 13 dan 17 Oktober ini tidak terjejas.

"Sehari kemudian iaitu pada Selasa, 15 Ogos lalu, FAM telah berjaya mendapatkan pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) untuk pasukan kebangsaan Tajikistan yang kini berada di ranking ke-110 dunia menggantikan slot yang ditinggalkan pasukan Lebanon itu.

"Biarpun dengan perubahan terbaharu ini, susunan jadual perlawanan berdasarkan ketetapan majlis undian sebelum ini akan dikekalkan iaitu Malaysia bertemu India manakala Palestin kini akan menentang Tajikistan," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan FAM mungkin terpaksa mengubah format perlawanan Pestabola Merdeka atau perlu segera mencari lawan lain apabila dikhabarkan pasukan Lubnan menarik diri daripada menyertai kejohanan terbabit atas sebab tertentu.

Walaupun tiada kenyataan rasmi daripada FAM dan LFA namun menurut sumber, pasukan Timur Tengah itu sudah menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada Pestabola Merdeka walaupun undian perlawanan itu sudah dilakukan pada minggu lalu.

Berdasarkan kepada perubahan terbabit menyaksikan Palestin akan bertemu Tajikistan pada perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka itu.

Skuad Harimau Malaya pula diundi bertemu India dengan pemenang membabitkan kedua-dua perlawanan akan berentap pada perlawanan akhir manakala yang tewas akan bertemu untuk merebut tempat ketiga.

Selain itu, perlawanan itu juga menyaksikan kejohanan pertama yang akan merasmikan padang baharu Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 12:07 PM