PEMAIN Harimau Malaya menjalani latihan menjelang Pestabola Merdeka. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PEMAIN Harimau Malaya menjalani latihan menjelang Pestabola Merdeka. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Penarikan diri Palestin pada saat akhir tidak menjejaskan saingan Pestabola Merdeka bermula Jumaat ini dengan hanya membabitkan tiga pasukan iaitu Malaysia, India dan Tajikistan.

Menurut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, pertandingan tiga penjuru Tier 1 itu tetap akan dilangsungkan seperti jadual asal biarpun Palestin terpaksa menarik diri ekoran konflik peperangan dengan Israel ketika ini.

Malah katanya, format saingan juga dikekalkan dan tiada sebarang perubahan dengan Tajikistan yang sepatutnya berdepan Palestin meraih bye dan terus mara ke final pada 17 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Manakala, aksi babitkan skuad Harimau Malaya dan India kekal pada Jumaat ini di SNBJ, dan pemenang akan meriah slot berdepan Tajikistan.

"Kita sudah berhubung dengan ketiga-tiga pasukan dan semua bersetuju kekalkan format asal di mana Tajikistan mendapat bye kemenangan percuma.

"Malaysia dan India pula akan berentap dan pemenang akan beraksi di final menentang Tajikistan," katanya pada sidang media di Wisma FAM, di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tindakan Palestin itu, Firdaus yang juga Pengerusi Pertandingan Pestabola Merdeka berkata, pihaknya memahami situasi tegang yang berlaku di sana.

"Kita kena faham, apa yang berlaku di sana tidak dijangka dan ia adalah krisis dunia.

"Mereka memaklumkan mahu terbang ke sini (Malaysia) tetapi tidak dapat keluar daripada sempadan negara mereka ekoran serangan tentera Israel.

"Jadi kita (FAM) mendapat pengesahan mereka (penarikan) pada jam 2 pagi tadi, dan kita faham dan saingan Pestabola Merdeka tetap akan jalan seperti dijadualkan," katanya.

Sementara itu, untuk bersikap adil kepada kira-kira 25,000 penyokong yang sudah membeli tiket bagi menyaksikan kedua-dua hari perlawanan pada Jumaat dan 17 Oktober ini, FAM mengambil keputusan untuk mengekalkan harga tiket berkenaan (bagi semua kategori) biarpun kini membabitkan hanya satu perlawanan pada setiap hari perlawanan itu.

Tiket-tiket masih boleh dibeli di https://bit.ly/tiketpestabola dan penjualan tiket hanya secara dalam talian iaitu tiada penjualan tiket secara fizikal di stadium pada hari perlawanan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 1:06 PM