YAZAN bertindak di luar dugaan ketika Selangor FC menentang TFC semalam.
YAZAN bertindak di luar dugaan ketika Selangor FC menentang TFC semalam.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Terlajak perahu boleh diundur namun terlanjur perbuatan buruk padahnya apabila tonggak pertahanan import Selangor FC Yazan Al-Arab bakal menerima 'habuannya' selepas dia melakukan perbuatan luar batasan dengan menendang pengadil perlawanan Mohd Hasrol Mohd Amir.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman, tindakan pemain berasal dari Jordan itu tidak boleh diterima dan sukar dinafikan kerana turut disaksikan penyokong bola sepak tanah air.

Beliau berkata, laporan berkaitan insiden itu sudah dihantar kepada Lembaga Tatatertib FAM dalam menentukan bentuk hukuman yang bakal dikenakan kepada Yazan.

"Kita sudah menghantar laporan berkaitan insiden itu kepada Lembaga Tatatertib FAM dan apa yang boleh saya katakan memang jelas ada kekasaran kepada pengadil.

"Saya tidak boleh pastikan bentuk hukuman akan dikenakan kepada Yazan cuma daripada apa yang kita lihat memang dia tidak akan terlepas begitu saja.

"Jika tidak berpuas hati dengan pengadil bukannya melakukan perbuatan itu (tendang), gunakan saluran betul iaitu buat laporan kepada FAM," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Yazan bertindak luar dugaan apabila menendang pengadil sebaik dia dilayangkan kad merah pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu berakhir, semalam.

Difahamkan, kekecewaan Yazan itu mungkin disebabkan oleh rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan.

Dalam aksi itu, skuad Red Giants terikat 1-1 sekali gus tersingkir menerusi perkiraan agregat memihak Terengganu FC dengan 3-1 selepas menang 2-0 pada suku akhir pertama di Gong Badak minggu lalu.

Gol skuad Penyu diraih melalui sepakan penalti Ivan Mamut di minit 23, manakala jaringan penyamaan hasil tandukan Safuwan Baharudin di minit 69.

Sementara itu, Noor Azman berkata, pihaknya belum lagi menerima sebarang laporan daripada Selangor FC berkaitan mutu pengadilan membabitkan perlawanan semalam.

"Jika tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan boleh membuat aduan rasmi. Setakat ini, Selangor FC belum lagi mengemukakan sebarang aduan kepada kita FAM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 12:10 PM