YAZAN (dua dari kiri) menendang pengadil selepas perlawanan antara Selangor FC dan TFC pada Ahad lalu.
YAZAN (dua dari kiri) menendang pengadil selepas perlawanan antara Selangor FC dan TFC pada Ahad lalu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui pasukannya bakal dilanda 'musibah' sekiranya tonggak pertahanannya, Yazan Al-Arab digantung beberapa bulan atas kesalahan menendang pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir, tempoh hari.

Cheng Hoe berkata, tindakan yang dilakukan anak buahnya itu di luar kawalan kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan pengadil, namun pemain terbabit sudah memohon maaf atas 'keterlanjuran' perbuatannya itu.

Beliau berkata, Yazan antara watak penting dalam kesebelasan utama pasukan terutama banyak membantu jentera serangan ketika berhadapan dengan lawan lebih hebat.

"Tindakan Yazan akan menjejaskan prestasi pasukan kerana kehadirannya memberi impak kepada pasukan.

"Kami akan menentang pasukan hebat seperti Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super, sekali gus memerlukan barisan pemain mantap untuk mencapai keputusan positif.

"Setiap kali bermulanya perlawanan, saya akan menasihati pemain supaya mengawal emosi dan tidak bertindak di luar batasan kerana akan memberi kesan kepada mereka dan pasukan.

"Pemain import itu sudah meminta maaf kepada barisan kejurulatihan dan mengakui kesilapannya bertindak mengikut emosi hingga menyukarkan pasukan pada perlawanan akan datang," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Yazan bertindak luar dugaan apabila menendang pengadil sebaik dia dilayangkan kad merah selepas aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang TFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu berakhir, Ahad lalu.

Difahamkan, kekecewaan Yazan itu mungkin disebabkan rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, barisan kejurulatihan menyerahkan kepada pengurusan Selangor FC untuk membuat laporan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan mutu pengadilan dan membabitkan tindakan kepada Yazan.

"Saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat tindakan lanjut termasuklah membuat laporan rasmi berkaitan mutu pengadilan pada perlawanan tempoh hari," katanya.

Perlawanan itu berkesudahan seri 1-1, namun TFC layak ke separuh akhir dengan agregat 3-1, hasil kemenangan 2-0 pada perlawanan pertama di Kuala Terengganu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 7:05 PM