YAZAN dilihat menyepak pengadil, Mohd Hasrol. FOTO Agensi
YAZAN dilihat menyepak pengadil, Mohd Hasrol. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Tonggak pertahanan import Selangor FC, Yazan Al-Arab berdepan hukuman berat apabila dengan sengaja menendang pengadil perlawanan Mohd Hasrol Mohd Amir.

Tindakan keterlaluan pemain itu dilakukan sebaik aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu berakhir, di mana sebelum itu pemain kebangsaan Jordan itu dilayangkan kad merah oleh Hasrol.

Kekecewaan Yazan itu mungkin disebabkan oleh rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan.

Dalam aksi itu, skuad Red Giants terikat 1-1 sekali gus tersingkir menerusi perkiraan agregat memihak Terengganu FC dengan 3-1 selepas menang 2-0 pada suku akhir pertama di Gong Badak minggu lalu.

Gol skuad Penyu diraih melalui sepakan penalti Ivan Mamut di minit 23, manakala jaringan penyamaan hasil tandukan Safuwan Baharudin di minit 69.

Berdasarkan peraturan permainan, hukuman penggantungan adalah asas biasa buat mana-mana pemain yang didapati menyentuh, menolak mahupun menumbuk pengadil seperti mana yang terdapat dalam peraturan pertandingan bola sepak di seluruh dunia.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga sering menggunakan hukuman sama buat pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) yang didapati bersalah melakukan tindakan agresif itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 1:25 AM