AB Ghani Hassan (dua dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam (kiri) dan Pengarah Ninox Idea Danial Don (kanan) pada Majlis Pelancaran Set Komemoratif Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia di Wisma FAM. FOTO Bernama
AB Ghani Hassan (dua dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam (kiri) dan Pengarah Ninox Idea Danial Don (kanan) pada Majlis Pelancaran Set Komemoratif Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia di Wisma FAM. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Pengadil profesional di liga Eropah turut menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) bagi mendapatkan keputusan yang lebih tepat.

Perkara itu ditekankan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang berpendapat cadangan menswastakan pengadil dan melantik pengadil profesional tidak menyelesaikan sepenuhnya mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M).

Walaupun memberi bayangan kesilapan pengadil boleh dielak dengan menggunakan VAR, Ab Ghani mengakui Liga M berdepan kekangan besar terutama dari aspek kewangan untuk melaksanakan teknologi itu dalam masa terdekat.

"Pengadil itu adalah manusia dan kemungkinan juga bila diswastakan, pengadil profesional pun akan berlaku kesilapan. Itu sebabnya di liga barat ada VAR walaupun pengadil itu profesional.

"Berkenaan VAR, kita akan adakan perbincangan bersama FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mengenai perkara ini seperti kos dan juga persiapan di venue itu sendiri.

"Setiap stadium perlu bersedia dengan sistem pendawaian, internet dan sebagainya. Negara luar kebanyakan stadium dimiliki kelab sendiri, tapi di negara kita kebanyakan stadium kepunyaan PBT (pihak berkuasa tempatan) yang mana ia perlu diambil perhatian juga untuk pelaksanaannya," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Produk Barangan Set Komemoratif Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia.

Selain itu, Ab Ghani percaya FAM tidak berdiam diri dan akan mengambil langkah yang lebih baik bagi memperbaiki lagi mutu pengadilan dalam Liga M.

"Pengadil berada di bawah bidang kuasa FAM dan berkenaan isu membabitkan pengadil kita selalu bincang dengan FAM. Tapi mutu pengadilan ini sangat subjektif. "Saya pasti FAM tidak akan duduk diam mengenai perkara ini, mungkin sampai waktu atau ketikanya nanti akan dibentangkan di peringkat pengurusan tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 9:21 PM