YAZAN (kiri) tidak lagi diperlukan Selangor FC.
YAZAN (kiri) tidak lagi diperlukan Selangor FC.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Nasi sudah jadi bubur! Itu nasib malang menimpa tonggak import Selangor FC, Yazan Al-Arab apabila ditamatkan kontrak lebih awal oleh skuad Red Giants.

Tindakan itu diambil selepas kelab terbabit menjalankan satu prosiding tatatertib di atas insidennya yang menyepak pengadil selepas aksi timbal balik Piala Malaysia dengan Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada 24 September lalu.

"Kelab Bola Sepak Selangor menjalankan satu Prosiding Tatatertib berkaitan dengan insiden tersebut.

"Berikutan Prosiding Tatatertib tersebut, Selangor memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan Al-Arab melalui penamatan kontrak bersama secara serta-merta."

"Kami di Selangor FC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yazan Al-Arab di atas khidmat dan bakti beliau but Red Giants sepanjang dua musim bersama kelab.

"Kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan Yazan," kata kelab itu menerusi satu kenyataan media.

Terdahulu, Yazan yang juga tonggak antarabangsa skuad kebangsaan Jordan bakal berdepan hukuman berat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila dengan sengaja menendang pengadil perlawanan Mohd Hasrol Mohd Amir.

Tindakan keterlaluan pemain itu dilakukan sebaik perlawanan dengan Terengganu FC berakhir, di mana sebelum itu dia dilayangkan kad merah oleh Hasrol.

Kekecewaan Yazan itu mungkin disebabkan oleh rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan.

Dalam aksi itu, Selangor FC terikat 1-1 sekali gus tersingkir menerusi perkiraan agregat 3-1 selepas Terangganu FC menang 2-0 pada suku akhir pertama di Gong Badak minggu lalu.

Berdasarkan peraturan permainan, hukuman penggantungan adalah asas biasa buat mana-mana pemain didapati menyentuh, menolak mahupun menumbuk pengadil seperti mana terdapat dalam peraturan pertandingan bola sepak di seluruh dunia.

Malah, FAM juga sering menggunakan hukuman sama buat pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) yang didapati bersalah melakukan tindakan agresif itu.

Namun sebelum FAM menghukum Yazan, Selangor FC lebih awal mengambil tindakan dengan menamatkan kontraknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 8:11 PM