YAZAN (dua dari kiri) menendang pengadil selepas perlawanan antara Selangor FC dan TFC di Stadium MBPJ, Ahad lalu.
YAZAN (dua dari kiri) menendang pengadil selepas perlawanan antara Selangor FC dan TFC di Stadium MBPJ, Ahad lalu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab mendakwa dia bertindak di luar kawalan hingga menyepak pengadil berikutan mengalami situasi sukar selepas mendapat perkhabaran sepupunya meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Pemain berasal dari Jordan itu berkata, dia menyedari tindakan terbabit agak keterlaluan hingga meletakkan pasukan dan rakannya dalam situasi sukar.

"Tiada kata-kata boleh gambarkan perasaan saya ketika ini. Saya mohon maaf atas tindakan saya dan akan jadikannya sebagai pembelajaran untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.

"Saya mohon maaf kepada penyokong Red Giants. Ia terjadi kerana tekanan psikologi perlawanan dan kematian sepupu saya beberapa minggu lalu.

"Saya tahu ini bukan alasan untuk melakukan semua ini dan ini bukan karakter saya atau apa yang saya belajar dalam Islam," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Yazan bertindak di luar dugaan apabila menendang pengadil sebaik dia dilayangkan kad merah selepas aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad lalu.

Difahamkan, kekecewaan Yazan itu mungkin disebabkan oleh rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan.

Dalam aksi itu, skuad Red Giants terikat 1-1, sekali gus tersingkir secara agregat 1-3 yang Terengganu FC ()TFC) selepas menang 2-0 pada suku akhir pertama di Gong Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 4:06 PM