PENYOKONG melancarkan protes ke atas pemilik United di Old Trafford pada 2 Mei 2021.
PENYOKONG melancarkan protes ke atas pemilik United di Old Trafford pada 2 Mei 2021.
Agensi

London: Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United dilapor berhutang lebih £1 bilion (RM5.85 bilion) ketika masa depan kelab masih samar.

Sejak November 2022, pemilik United, keluarga Glazer meletakkan kelab untuk dijual dengan usahawan Qatar Sheikh Jassim dan bilionair British Sir Jim Ratcliffe benar-benar serius untuk membelinya.

Namun Glazer kini didakwa mengubah fikiran apabila mahu menarik balik kelab dari pasaran dan menjualnya semula pada 2025.

Laporan juga menyebut hutang United meningkat daripada £969 juta (RM5.67 bilion) ke £1.05 bilion (RM6.14 bilion).

Peningkatan itu susulan penggabungan hutang kasar, pinjaman bank dan yuran perpindahan tertunggak.

United sekali lagi berbelanja besar musim ini apabila membeli pemain seperti Mason Mount, Andre Onana dan Rasmus Hojlund.

Penyokong United mengadakan satu lagi protes bantahan terhadap Glazer sebelum perlawanan United menentang Nottingham Forest bulan lalu.

Bercakap mengenai protes itu, pengurus Erik ten Hag berkata: "Penyokong berhak menyuarakan pendapat tetapi pada masa sama anda dapat melihat hubungan sangat kuat antara mereka dan pemain.

"Sepanjang saya di sini, hubungan itu semakin kuat dan hari ini ia semakin kuat. Kami mendapat sokongan padu mereka sama ada di tempat sendiri atau di tempat lawan. Sangat bagus melihat semangat seperti itu di antara kami."

United akan kembali beraksi di EPL selepas tamat perlawanan antarabangsa dengan menentang Brighton and Hove Albion pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 3:55 PM