Barisan pemain Manchester United
Barisan pemain Manchester United
Agensi

London:Jangan pandang rendah kepada Manchester United. Hal ini kerana pasukan terbabit memiliki skuad paling mahal yang pernah dibentuk menurut kajian Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Berdasarkan kajian nilai kelab dalam liga utama Eropah mendapati Red Devils adalah paling dengan nilai £1.21 bilion (RM7.28 bilion).

Pengiraan itu termasuk bayaran perpindahan lumayan £85.5 juta (RM515 juta) terhadap Antony, £80 juta (RM482 juta) terhadap Harry Maguire pada 2019 dan £73 juta (RM439 juta) untuk membeli Jadon Sancho pada 2021.

Angka itu termasuk £60 juta (RM361 juta) yang dibelanjakan terhadap pemain Real Madrid, Casemiro pada 2022.

Bagaimanapun, jumlah itu hanya dikira membabitkan perjanjian hingga akhir tahun kewangan pada 2023.

Namun, jumlah terbabit adalah tidak termasuk pemain yang dibeli pada musim lalu membabitkan £47 juta (RM283 juta) terhadap Andre Onana, £60 juta (RM361 juta) buat Mason Mount dan £72 juta (RM433 juta) bagi mendapatkan khidmat Rasmus Hojlund.

Di sebalik bayaran mega yang dibelanjakan untuk membentuk skuad di Old Trafford, ia gagal membuahkan hasil di tengah padang.

Walaupun kelab terbabit mempunyai nilai mahal namnun Manchester United bergelut untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara kerap sejak pemergian Alex Ferguson pada 2013.

Musim lalu, dengan skuad paling mahal di dunia, pasukan itu hanya berakhir di tangga ketiga EPL.

Pada kempen kali ini pasukan kendalian Erik ten Hag semakin bergelut dan kini menghuni tangga keenam liga.

Jiran tetangga Manchester City mempunyai skuad kedua termahal dengan £1.1 bilion (RM6.6 bilion).

Pasukan itu ternyata lebih berjaya berbanding United musim lalu apabila mereka melakar sejarah menjuarai 'treble' di bawah kendalian Pep Guardiola.

Chelsea dengan £927 juta (RM5.58 bilion) dan Real Madrid £882 juta (RM5.31 bilion) berada di tangga ketiga dan keempat memiliki skuad termahal di Eropah.

Skuad The Blues menyaksikan pelaburan besar sejak kehadiran Todd Boehly dengan perjanjian mega £105 juta (RM632 juta) untuk membeli Enzo Fernandez dan £88 juta (RM530 juta) terhadap Mykhailo Mudryk sebelum musim panas 2023.

Kelab EPL lain - Liverpool £774 juta (RM4.66 bilion), Arsenal £761 juta (RM4.58 bilion) dan Tottenham £570 juta (RM3.43 bilion) turut berada dalam kelompok 10 teratas.

Manakala Newcastle £464 juta (RM2.79 juta) Aston Villa £428 juta (RM2.57 bilion) dan West Ham £379 juta (RM2.28 bilion) masing-masing berada di tangga ke-12, ke-15 dan ke-17 senarai skuad paling mahal di Eropah.

Skuad The magpies dilihat lebih mahal berbanding kelab seperti Bayern Munich ketika kehadiran Harry Kane dengan harga £100 juta (RM602 juta) tidak dikira.

The Villans dan Hammers membelanjakan lebih untuk membentuk skuad mereka berbanding kelab gergasi Eropah seperti Atletico Madrid, Borussia Dortmund dan AC Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 12:19 PM