ANTARA aksi barisan pemain United ketika perlawanan persahabatan di New Jersey. FOTO AFP
ANTARA aksi barisan pemain United ketika perlawanan persahabatan di New Jersey. FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester United memulakan musim baharu di laman sendiri menentang Wolves, awal pagi Selasa ini dengan harapan baharu dapat menamatkan penantian selama 10 tahun untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun berdepan ketidakpastian mengenai masa depan kelab itu.

Sembilan bulan selepas pengumuman oleh pemilik kelab, keluarga Glazer, bahawa mereka mahu menjual kelab itu, proses berkenaan masih belum selesai.

Jurubank Qatar, Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani dan jutawan British, Jim Ratcliffe dilihat buntu dalam persaingan untuk memiliki kelab itu selepas beberapa bidaan.

Harapan penyokong agar pemilik baharu dapat dimuktamadkan sebelum permulaan musim baharu tidak kesampaian.

Di sebalik segala ketidaktentuan itu, pengurus United, Erik ten Hag sekali lagi mendapat sokongan padu dalam pasaran perpindahan pemain untuk mencuba dan menyambung kecemerlangan musim pertamanya selaku pengurus.

Bekas bos Ajax itu membimbing United kembali ke Liga Juara-Juara dan menamatkan kemarau trofi selama enam tahun dengan menjulang Piala Liga pada Februari.

Ten Hag membelanjakan hampir £200 juta (RM1.16 bilion) untuk mendapatkan penjaga gol, Andre Onana; pemain tengah, Mason Mount serta penyerang, Rasmus Hojlund.

"Kami sudah memilih penyerang dan kami sangat gembira dengan pilihan kami," kata Ten Hag, yang mempertahankan keputusan untuk mendapatkan Hojlund berbanding Harry Kane.

"Terdapat strategi dalam setiap keputusan dan kami gembira dengan skuad yang kami ada sekarang," katanya lagi.

Hojlund akan terlepas untuk beraksi selama beberapa minggu kerana kecederaan belakang, tetapi United perlu meraih keputusan cemerlang pada perlawanan pertama jika mereka ingin menjadi pencabar Manchester City merebut gelaran liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 10:34 AM