HOJLUND ketika diperkenalkan kepada penyokong United bersama maskot kelab itu, Fred the Red. FOTO REUTERS
HOJLUND ketika diperkenalkan kepada penyokong United bersama maskot kelab itu, Fred the Red. FOTO REUTERS
Reuters

London: Manchester United menandatangani penyerang Denmark, Rasmus Hojlund dari kelab Serie A, Atalanta dengan kontrak lima tahun sehingga 2028, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Butiran kewangan tidak didedahkan tetapi media Britain melaporkan pemain berusia 20 tahun itu berharga 72 juta pound (RM418 juta).

"Bukan lagi rahsia bahawa saya meminati kelab hebat ini sejak kecil, dan saya menyimpan impian untuk beraksi di Old Trafford sebagai pemain Manchester United.

"Sebaik sahaja saya bercakap dengan pengurus, saya tahu bahawa persekitaran ini sesuai untuk pembangunan karier saya. Saya teruja untuk bekerja dengan salah seorang jurulatih terbaik di dunia," kata Hojlund.

Hojlund, yang sebelum ini beraksi bersama FC Copenhagen dan Sturm Graz, menyertai Atalanta pada permulaan musim 2022-23 dan menjaringkan sembilan gol di saingan liga.

Dia juga berada dalam prestasi yang baik untuk Denmark tahun ini apabila menjaringkan enam gol dalam empat penampilan bersama pasukan kebangsaan.

United memerlukan penyerang selepas menghabiskan separuh terakhir musim lalu menggunakan khidmat Wout Weghorst namun dia hanya mampu meledak dua gol sepanjang 31 perlawanan dalam semua pertandingan.

Pengurus United, Erik ten Hag pastinya berharap Hojlund mampu meledak lebih banyak gol di Old Trafford namun satu lagi kelebihan bintang Denmark itu adalah keupayaannya untuk mencipta peluang kepada pemain tengah menyerang seperti Bruno Fernandes dan Mason Mount.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 8:14 PM