MANCHESTER United membeli pemain tengah, Casemiro dari Real Madrid. FOTO Reuters
MANCHESTER United membeli pemain tengah, Casemiro dari Real Madrid. FOTO Reuters
Agensi

Manchester: Legenda Manchester United, Gary Neville mengkritik dua pemain baharu dibeli kelabnya iaitu Casemiro dan Antony sebagai pembelian panik.

The Red Devils membelanjakan £150 juta (RM821.59 juta) untuk dua pemain Brazil itu dan perbelanjaan mereka melebihi £200 juta (RM1.095 juta) pada ketika keluarga Glazer sekali lagi cuba mengubah nasib kelab itu selepas prestasi suram sejak beberapa musim lalu.

Bercakap kepada The Overlap, bekas bek kanan itu mengkritik pemilik dan mendakwa mereka berbelanja melebihi sepatutnya untuk cuba meyakinkan penyokong.

"Manchester United mahu membelanjakan antara £130 hingga £140 juta (RM712.05 hingga RM766.82 juta) , tetapi akhirnya mereka berbelanja £230 juta (RM1.259 bilion)," kata Neville.

"Sudah tentu, kami pernah melihat perkara begini sebelum ini dengan keluarga Glazer - banyak masalah, protes, melabur untuk cuba memuaskan hati penyokong dan pada asasnya, pembelian panik."

United memulakan musim ini dengan kekecewaan apabila dua kekalahan di bawah pengurus baharu, Erik ten Hag, tetapi bangkit melakar empat kemenangan berturut-turut dan melonjak dari tangga tercorot ke tempat kelima Liga Perdana Inggeris (EPL).

Mereka menyasarkan untuk kembali ke Liga Juara-Juara Eropah, tetapi Neville mendakwa kelab itu perlu menukar strategi berbelanja pada musim panas.

"Usaha mendapatkan Casemiro dan Antony dilakukan dua hari sebelum perlawanan dengan Liverpool iaitu sudah tentu saat itu mereka sangat perlu membawa masuk pemain.

"Ia bukan strategi pada musim panas iaitu berbelanja pada ketika yang sepatutnya."

United sepatutnya menentang Crystal Palace pada Ahad ini, tetapi aksi EPL ditangguhkan berikutan kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 9:50 PM