NOOR Azman (tiga kanan) ketika mendengar sesi latihan fasa kedua VAR di Wisma FAM, hari ini. FOTO FAM
NOOR Azman (tiga kanan) ketika mendengar sesi latihan fasa kedua VAR di Wisma FAM, hari ini. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan kemungkinan penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR) pada final Piala Malaysia hujung tahun ini tidak dapat digunakan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, penggunaan teknologi itu akan bermula pada tahun depan berdasarkan kepada persiapan membabitkan pengadil tempatan dan infrastruktur di setiap venue Liga Super berlangsung kelak.

"VAR akan digunakan tahun depan kerana apa yang kita lihat dan dimaklumkan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) tak sempat nak gunakan namun persiapan sudah bermula pada tahun ini.

"Setakat ini kita tak pasti bila akan gunakan namun untuk final Piala Malaysia tak sempat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama wakil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sama ada pengadil tempatan sudah bersedia untuk menggunakan VAR pada final Piala Malaysia yang dijangka berlangsung pada Disember depan.

"Kita akan berbincang dengan Fifa dan melihat kesediaan pengadil. Jika pengadil boleh melakukan namun kemudahan tiada maka tidak boleh juga.

"Jadinya, saya boleh mengesahkan perkara itu apabila modul ini tamat dan akan berbincang dengan Fifa untuk dapatkan garis masa bersesuaian," katanya.

Selain itu, ketika ditanya sama ada MFL akan menggunakan khidmat pengadil asing untuk menguruskan VAR, Stuart memaklumkan cadangan itu mungkin akan membabitkan kos yang tinggi walaupun membabitkan hanya satu perlawanan saja.

"Saya fikir di peringkat MFL keutamaan adalah VAR dan kita hanya perlukan pengadil asing di atas padang kerana untuk memanggil individu berkenaan menguruskan teknologi terbabit bukannya murah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 3:57 PM