S Sivasundaram. FOTO FAM
S Sivasundaram. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan lebih berhati-hati apabila mahu melakukan perbincangan bersama penyediaan perkhidmatan Video Bantuan Pengadil (VAR) terlebih dahulu sebelum duduk semeja dengan pemilik kelab dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, proses untuk memastikan VAR dapat digunakan memerlukan perancangan sistematik termasuk menghantar pengadil menjalani kursus berkaitan teknologi berkenaan sebelum boleh digunakan kelak.

"Kita perlu berbincang terlebih dahulu dengan service provider (penyedia perkhidmatan) sebelum melakukan perjumpaan bersama MFL.

"Jangkaan penggunaan teknologi terbabit adalah pada tahun depan iaitu mungkin pada final Piala FA atau Piala Malaysia.

"Ini semua mengambil proses kerana pengadil juga perlu menjalani kursus selama enam hingga sembilan bulan,"katanya.

Selain itu, beliau berkata, tiada penggunaan VAR pada final Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu depan.

Katanya, terdapat beberapa faktor menyebabkan penggunaan teknologi itu tidak digunakan walaupun venue perlawanan akhir pernah menggunakan VAR sebelum ini.

"Kalau ada (penggunaan VAR untuk final) saya boleh cakap ada. Ini kerana kita belum bincang dengan MFL berkenaan perkara ini. Selepas itu kita juga perlu berbincang dengan pihak stadium juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 2:07 PM