PEMAIN JDT, Muhammad Ekmal Shahrin (kanan) cuba menghalang pemain Pahang Rangers, Amin Nasrollah Zadeh pada perlawanan akhir pertama MPFL 2023, Sabtu lalu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PEMAIN JDT, Muhammad Ekmal Shahrin (kanan) cuba menghalang pemain Pahang Rangers, Amin Nasrollah Zadeh pada perlawanan akhir pertama MPFL 2023, Sabtu lalu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) banyak melakukan kesilapan hingga tewas 3-7 di tangan Pahang Rangers pada aksi final pertama Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 di Stadium Tertutup SUKPA, kelmarin.

Kelekaan pemain JDT pantas dihidu barisan pemain tuan rumah yang mengambil kesempatan untuk menghasilkan jaringan pada babak pertama dan kedua.

Ketua pasukan JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq berkata, selepas menghasilkan gol awal pada minit ketujuh menerusi Awalluddin Mat Nawi, corak permainan JDT seolah-olah berubah hingga memberi peluang Pahang Rangers mengawal permainan.

"Saya tidak menyalahkan rakan sepasukan, kami sudah memberikan persembahan terbaik dalam usaha memburu kemenangan pada perlawanan pertama, tetapi berlaku sebaliknya.

"Sebagai pasukan yang lebih berpengalaman, tuan rumah berhak meraih kemenangan dan mereka memiliki banyak kelebihan yang sukar kami sekat," katanya.

Bagaimanapun, kekalahan 3-7 pada perlawanan itu tidak bermakna mereka akan terus menyerah kalah, sebaliknya tekad bangkit pada perlawanan kedua di Pasir Gudang, 14 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 9:31 PM