PEMAIN futsal JDT terpaksa akur apabila muncul naib juara MPFL, Isnin lalu. FOTO FB FAM
PEMAIN futsal JDT terpaksa akur apabila muncul naib juara MPFL, Isnin lalu. FOTO FB FAM
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan kesungguhan, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila tewas 6-9 secara agregat kepada Pahang Rangers di final Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, Johor, Isnin lalu.

Selepas tewas besar 3-7 pada final pertama di Kuantan, mereka terpaksa akur walaupun bangkit dengan kemenangan 3-2 di tempat sendiri.

Ketua pasukan JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq berkata, pemain agak kecewa apabila tidak dapat menjulang kejuaraan walaupun mencatat kemenangan 3-2 di tempat sendiri.

Menurutnya, pemain sudah memberikan persembahan terbaik untuk cuba bangkit, namun perbezaan jaringan menyebabkan JDT terpaksa akur dengan kekalahan.

"Kesilapan besar tewas dengan jumlah jaringan besar (3-7) pada Pahang Rangers pada final pertama menjadi faktor utama impian menjulang kejuaraan tidak menjadi kenyataan.

"Kesungguhan pemain untuk menghasilkan lebih banyak jaringan pada final tidak dapat dilakukan, hanya tiga gol sahaja dapat dihasilkan dan lawan mendapat dua gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 8:48 PM